"Jarang Jumpa Pak Andam" - Netizen Puji Hasil Tangan Orang Lama Siapkan Pengantin Lelaki
Tangan pak cik berseni.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Setiap orang mempunyai minat mereka masing-masing dalam pelbagai perkara
Tambahan pula, jika seseorang itu berbakat dan mampu melakukan perkara yang di luar jangkaan orang lain. Bukan semua orang mampu melakukan sesuatu tanpa bakat yang ada.
Samalah seperti video yang tular di TikTok memaparkan seorang lelaki yang mahir bidang solekan dan tata rias sehingga mendorongnya menjadi Pak Andam.
Bukan lembut, tetapi lelaki tulen yang minat dalam bidang solekan
Bapa lapan anak serta 12 cucu iaitu Megat Mat Akhir Megat Mohamad, 57 telah membuka butik sekali gus menjadi Pak Andam kepada bakal pengantin lelaki.
Bercerita kepada sumber, dirinya kerap dipelawa menjadi pengapit pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan kenalan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ia sedikit sebanyak menjadi titik-tolak permulaan kerjayanya sebagai jurusolek.
Menurutnya, khidmat jurusolek merangkap pengapit ditawarkan khusus buat kaum Adam sahaja dan kadang-kala ia menjadi pertikaian berikutan ada yang menganggapnya lelaki lembut.
"Saya bukan lembut, saya lelaki tulen cuma suka bidang solekan. Walaupun dah lama minat mengandam dan siapkan pengantin sejak 80-an lagi, saya ambil keputusan buka butik pada 2016 di Taiping dan pada masa sama masih usahakan kilang.
"Mula-mula tak banyak tempahan kerana saya agak segan mahu buat promosi. Tetapi, 2020 ada peningkatan sedikit dan tahun lepas saya cuba nak iklankan servis di media sosial, terus tular konten saya!
"Tempahan tak putus-putus, Alhamdulillah! Jadual sudah terisi sehingga Disember tahun ini, tetapi ada yang saya terpaksa tolak kerana percanggahan tarikh nikah pengantin," katanya.
Isteri dan anak-anak tak pernah menghalang, malah menyokong
Dia yang mesra disapa dengan Megat Tan memberitahu pernah sempat menghentikan khidmatnya sebagai pengapit pengantin lelaki sekitar 2005 meskipun menerima terlalu banyak permintaan ketika musim kahwin.
Ia kerana dia mahu menumpukan perhatian penuh kepada operasi kilang yang baharu menjengah usia lima tahun. Megat Tan juga meluahkan rasa syukurnya kerana setakat ini belum pernah menerima komen buruk atau kritikan pedas berikutan majoriti berpuas hati dengan air tangan anak sulung daripada tujuh beradik itu.
Tambahnya, isteri dan anak-anak tidak pernah menghalang, malah turut sama membantu dalam mengusahakan butik dan hiasan pelamin pengantin.
Malah, Megat Tan juga amat menitikberatkan penggunaan produk berkualiti agar sentuhannya meninggalkan efek segar, bahkan tahu setiap jenis barangan mekap yang menepati tona kulit pengantin.
"Pada mulanya, tak tahu juga tetapi saya banyak belajar daripada rakan kongsi. Lama-kelamaan tahu banyak perkara tentang produk mekap, bimbang juga kerana ada antaranya mengalami kulit sensitif.
"Semua ini bukan kerana duit semata-mata, namun atas dasar minat. Kalau pengantin perempuan mahukan servis, kami juga sediakan jurusolek wanita.
"Kuncinya syukur dan ikhlas. Selagi ada kudrat, saya akan terus bergiat aktif dalam bidang andaman ini sambil mengusahakan kilang arang kayu bakau saya," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!