Haram Untuk Lelaki Islam, Jenama dUCk Tarik Semula Penjualan Tali Leher 'Marvel x dUCk'
Jenama dUCk telah memberhentikan penjualan tali leher itu secara serta merta dan akan melakukan proses pembayaran semula buat mereka yang inginkannya.
Jenama dUCk terpaksa menarik semula penjualan tali leher ekoran ianya 'haram' dipakai oleh kaum lelaki beragama Islam
Semalam, 17 Jun, jenama dUCk telah melancarkan kolaborasi eksklusif Marvel x dUCk yang mana memperkenalkan aksesori mewah tali leher dUCk pertama mereka, bersempena dengan sambutan Hari Bapa.
Walau bagaimanapun, penjualan tarik leher tersebut terpaksa ditarik semula gara-gara ianya diperbuat menggunakan 100% kain sutera yang hukumnya adalah haram buat lelaki Islam.
Susulan daripada itu, jenama dUCk telah mengeluarkan kenyataan akan memberhentikan penjualan tali leher tersebut secara serta merta
Menerusi laman Instagram rasminya, jenama itu telah memohon maaf kerana terlepas pandang pilihan bahan pembuatan tali leher terbabit di samping akan melakukan proses pembayaran semula atau refund buat mereka yang inginkannya.
Bukan itu sahaja, dUCk juga menyatakan akan memberi tali leher berkenaan kepada pekerja barisan hadapan lelaki bukan Islam mereka.
Meskipun begitu, buat kaum wanita yang masih ingin mendapatkan akseseori Marvel x dUCk ini, anda boleh membeli koleksi selendang serta tudung mereka di laman web Fashion Valet.
Info tambahan:
Buat mereka yang tidak tahu, dalam Islam, kaum lelaki diharamkan memakai barangan yang diperbuat daripada emas serta sutera
Hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada benang sutera itu tertakluk kepada pemakainya. Jika ia seorang perempuan adalah harus memakainya, sebaliknya haram hukumnya bagi lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
"Emas dan sutera dihalalkan bagi golongan wanita dari umatku dan diharamkan bagi golongan lelaki." (Diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa'i dari Abu Musa, Sahih Al-Jami' (209).
"Rasulullah SAW telah melarang kami akan tujuh perkara; baginda melarang (memakai) cincin atau gelang emas, sutera tebal, dibaj (kain sutera), baju bersulam sutera, penutup lampu yang diperbuat dari sutera dan bekas dari emas." (Dikeluarkan oleh al-Bukhari dari Bara' (5863)).