Joe Biden Menang Pilihan Raya Presiden AS, Tewaskan Donald Trump Dengan 290 Undi Elektoral
A Battle for the Soul of the Nation.
Joe Biden yang juga calon Demokrat menang pilihan raya presiden Amerika Syarikat ke-46 apabila memperolehi 290 undi elektoral manakala pencabarnya, Donald Trump dari parti Republikan hanya meraih 214 undi
Menurut sumber, kemenangan calon Demokrat itu selepas pengiraan undi di Pennsylvania menyaksikan Joe Biden berusia 77 tahun mendahului pengundian antara negeri untuk menentukan pemilihan presiden Amerika Syarikat.
Kejayaan Joe Biden melalui kempen bertemakan 'A Battle for the Soul of the Nation' juga membolehkan beliau menafikan hasrat Donald Trump untuk menjadi presiden untuk penggal kedua.
Keputusan itu menyaksikan Joe Biden menjadi calon Demokrat pertama dalam tempoh 24 tahun memenangi undi elektoral di Arizona selepas menang besar di California, New York, Minnesota dan New Hampshire yang pernah diraih Hillary Clinton pada 2016.
Cipta rekod dengan lebih 75 juta undian walaupun dalam musim pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia
Kejayaan ini juga sekali gus menamatkan era pemerintahan Donald Trump sepenggal yang menggemparkan politik negara Uncle Sam itu selepas era George H W Bush pada awal 1990-an.
Bagi Joe Biden yang mencatatkan rekod dengan lebih 75 juta undian, kemenangan dalam pertarungan sengit ketika dunia berdepan pandemik COVID-19 adalah pencapaian terhebat peribadi selepas terbabit hampir setengah abad dalam politik .
Selain itu termasuk lapan tahun sebagai timbalan kepada presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat Barack Obama.
Menerusi Twitter, Joe Biden berkata beliau berasa rendah diri dengan kemenangan ini dan sudah tiba masanya rakyat Amerika Syarikat mengetepikan perbezaan politik
Beliau menyatakan “Dengan kempen yang sudah berakhir, letakkan kemarahan dan retorik di belakang, bersatulah sebagai sebuah negara.”
Dengan kemenangan ini, gandingannya Kamala Harris melakar sejarah sebagai wanita kulit hitam pertama menjadi Naib Presiden Amerika.
Senator California itu yang juga individu pertama keturunan Asia Selatan terpilih untuk jawatan tersebut.