Jom Pakai Warna Oren Pada 25 November Ini Sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita
Sayangi dan jagalah wanita-wanita di sekeliling kita!
Wanita adalah insan istimewa yang memainkan peranan penting dalam masyarakat
Merekalah ibu tercinta, saudara perempuan, pasangan dan kawan kita. Oleh itu, mereka harus disayangi, dihormati dan dilindungi daripada keganasan, kesakitan dan penghinaan.
Pada 25 November setiap tahun, seluruh dunia akan menyambut Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (International Day for the Elimination of Violence against Women – EVAW) untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan berasaskan jantina terhadap wanita. Malaysia pun tidak terkecuali!
KPWKM siap menyerikan Menara KL dengan warna OREN pada malam 24 November
Sebagai simbolik permulaan kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) akan ‘menyirami’ Menara Kuala Lumpur dengan warna OREN pada malam 24 November ini.
Kenapa warna OREN? Untuk pengetahuan anda, warna OREN adalah warna global tanda solidariti bagi menghentikan keganasan terhadap wanita.
Jom ramai-ramai pakai warna oren pada 25 November!
Jadi, macam mana hendak tunjukkan solidariti dan sokongan anda kepada kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita? Mudah sahaja.
Jom kita ramai-ramai sahut seruan KPWKM untuk bersama-sama memakai pakaian berwarna oren pada 25 November ini. Anda yang menjadi pemilik premis juga dialu-alukan untuk menghiasi premis anda dengan warna oren bagi menyokong kempen ini.
Dah sarung pakaian warna OREN, jangan lupa muat naik OOTD anda dengan hashtag #Hentikankeganasanterhadapwanita #EVAW #orangetheworld sekali ya?
Bagi memastikan kempen ini berjaya mencapai matlamatnya, KPWKM juga menyarankan agensi kerajaan, swasta, NGO dan individu untuk melaksanakan program kesedaran menghapuskan keganasan dan penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di peringkat akar umbi seperti di komuniti setempat, sekolah, universiti dan tempat kerja.
Mari kita sama-sama berganding bahu untuk menjayakan kempen ini. Hentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan. Sayangi dan jagalah wanita-wanita di sekeliling kita!
Klik di sini untuk sebarang info dan perkembangan terkini daripada KPWKM.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!