Dengki Ada, Harta Juta-Juta Ada, Card Game ‘Drama Pukul 7’ Ini Cukup Rencah Drama Melayu!
Matlamat permainan kad ini adalah untuk mengalahkan pemain-pemain lain untuk menjadi Karakter Utama tunggal 'rancangan TV' tersebut.
Bosan dengan plot 'predictable' setiap kali menonton drama Melayu pukul 7 malam?
Mana-mana drama Melayu, plot drama tersebut pasti akan ada orang kaya yang jatuh cinta dengan orang miskin. Tapi, pasangan itu pasti akan mendapat tentangan keluarga mentua.
Selain itu, plot typical drama Melayu adalah pasangan yang kena kahwin paksa, pada awalnya saling membenci tapi diakhiri dengan kedua-duanya saling mencintai bagai nak rak, kemudian ada saja orang yang dengki ingin pisahkan mereka.
Bosan, bukan?
Apa kata kali ini anda sendiri yang menentukan nasib watak utama drama Melayu pukul 7 itu?
Caranya? Dengan bermain kad Drama Pukul 7!
Drama Pukul 7 merupakan permainan kad yang memerlukan antara 3 hingga 6 orang pemain yang kompetitif di mana pemain bakal memainkan peranan sebagai salah seorang watak protagonist (sama ada Hero atau Heroine) dalam siri drama Melayu biasa.
Matlamat permainan kad ini adalah untuk mengalahkan pemain-pemain lain untuk menjadi Karakter Utama tunggal 'rancangan TV' tersebut.
Mana boleh ada lebih dari seorang karakter utama dalam drama TV Melayu, bukan? May the best man/woman wins!
Bagaimana cara bermain kad Drama Pukul 7 ini?
Setiap pemain akan mendapat sekeping kad karakter masing-masing yang mana setiap karakter ini akan disertakan sekali dengan kad Air Muka.
Kad Air Muka ini umpama seperti 'life' yang mana sekiranya pemain itu diserang pemain lain, Air Muka karakter itu akan turun dari nilai tujuh sehinggalah ke nilai sifar. Apabila Air Muka tinggal sifar, maka pemain itu kalah, sekali gus menunjukkan karakter yang dipegangnya sudah tiada.
Dalam permainan kad ini, terdapat dua dek berwarna biru dan hijau. Dek biru akan memaparkan jenis-jenis episod dalam 'drama' tersebut. Bukan itu sahaja, seperti drama-drama Melayu yang biasa kita tonton, pasti akan terdapat juga plot twist yang tidak kita sangka, bukan? Dalam dek biru, turut terdapat beberapa keping kad plot twist yang boleh mengubah jalan cerita episod 'drama' berkenaan.
Manakala dek hijau pula memaparkan Item yang karakter drama tersebut boleh beli dan miliki. Item yang dimiliki karakter mempunyai kebolehan tersendiri. Boleh dikatakan, Item ini umpama 'power card' untuk setiap pemain.
Pada masa yang sama, dalam dek hijau juga terdapat kad Member yang mana kad ini boleh digunakan untuk melindungi dan mengelak pemain daripada diserang pemain lain. Menariknya, karakter yang pemain pegang siap boleh kahwin lagi dengan Member!
Memang betul-betul lively permainan kad ini!
Masih tidak faham cara permainan kad Drama Pukul 7?
Usah khuatir, lihat sahaja video penuh di bawah!
Untuk makluman, permainan kad Drama Pukul 7 ini merupakan buah fikiran dua orang sahabat, Haireey dan Zamri
Permainan kad Drama Pukul 7 ini telah menjalani pelbagai proses kreatif dan inovatif serta mempunyai "rasa tempatan" di dalamnya, disesuaikan untuk pemain tempatan.
Demi mengelak daripada terikat dengan apa sahaja peraturan yang mungkin ditetapkan oleh syarikat pengeluar, Haireey dan Zamri telah menubuhkan syarikat Meja Belakang Art yang bergerak secara independent.
Disebabkan itu, kedua-dua sahabat ini telah memulakan kempen bagi mengumpul dana berjumlah RM15 ribu yang boleh membantu mereka mencipta lebih banyak permainan yang dapat disesuaikan dengan gaya hidup rakyat Malaysia.
Kempen tersebut akan diadakan selama sebulan, bermula pada 31 Julai dan akan berakhir pada 31 Ogos
Derma boleh dilakukan dalam jumlah RM 10, 45, 75, 120, 160 dan 200 di mana nilai derma berbeza melayakkan penderma menerima barangan khas daripada permainan kad Drama Pukul 7.
Paling best sekali, sekiranya menderma RM75 dan keatas, penderma akan mendapat sekali Game Set Drama Pukul 7, dan untuk nilai RM200, penderma akan mendapat ekslusif custom-made kad Producer!
Meskipun sedar bahawa sasaran yang ditetapkan mereka mungkin tinggi, namun ciri yang terdapat pada laman crowdfunding MyStartr Fleksibel Funding membolehkan Haireey dan Zamri menerima sebarang koleksi dari kempen walaupun gagal mencapai sasaran RM15 ribu.
Oleh itu, usah khuatir kerana mereka masih diwajibkan untuk memberi ganjaran kepada para penderma yang support kempen ini!