Jangan Tak Percaya, Luka-Luka Ini Sebenarnya Hasil 'Servis' Lukisan Budak 10 Tahun. Power!
Iman, Qaseh dan Sakinah menawarkan servis melukis pelbagai jenis luka seperti luka lebam, luka rotan, luka jatuh motor dan lain-lain dengan harga serendah 50 sen untuk satu luka.
Tular di laman-laman sosial sekumpulan budak-budak perempuan darjah 4 membuat servis lukis luka
Semuanya bermula apabila ibu saudara kepada adik Nurul Iman Syuhadah telah memuat naik satu status di laman Twitter memaklumkan servis yang ditawarkan kanak-kanak itu bersama kawan-kawan baiknya, Qaseh serta Sakinah.
Menurut 'iklan' yang telah tular itu, Iman, Qaseh dan Sakinah menawarkan pelbagai jenis luka untuk dilukis seperti luka lebam, luka rotan, luka jatuh motor dan lain-lain dengan harga serendah 50 sen untuk satu luka.
Tiga sekawan itu hanya menggunakan alat mewarna seperti pensil warna dan magic colour untuk servis lukis luka mereka
Menurut ibu kepada Iman Syuhadah iaitu Norasarina Abdul Razak, dia mengakui terhibur dengan bakat serta kemampuan anaknya itu melukis luka. Walau bagaimanapun, servis itu terpaksa dilakukan secara senyap-senyap.
"Iman beritahu saya, dia nak hasilkan sesuatu melalui bakatnya, jadi dia cuba untuk cari duit melalui servis itu.
"Memandangkan sekolah ada peraturan, dia terpaksa buat secara senyap-senyap dan dia sangat berbeza hati kalau orang luar tahu bakat yang mereka ada," kata Norasarina kepada MStar.
Setakat ini, Iman, Qaseh, dan Sakinah berjaya memperolehi RM3 hasil jualan melalui servis tersebut.
Buat yang ingin tahu, tiga sekawan ini mempelajari cara-cara melukis luka melalui video 5-Minute Crafts di Facebook.
Berikut antara contoh luka hasil lukisan mereka:
Ternyata ramai sebenarnya yang terpaku, teruja, dan kagum dengan hasil lukisan luka adik-adik ini!