Bojan Hodak Sah Ambil Alih Tugas Sebagai Pengendali Baharu Harimau Malaya
Sebelum pelantikan Bojan Hodak, FAM telah mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan Harimau Malaya
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan FAM hari ini, 24 November 2026, pelantikan jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia itu dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam arena bola sepak khususnya di rantau Asia Tenggara.
Rekod pencapaian cemerlang sepanjang karier kejurulatihannya bersama beberapa kelab dan pasukan kebangsaan, juga menjadi faktor yang diambil dalam pelantikan tersebut.
"Bojan Hodak bukanlah nama asing dalam landskap bola sepak Malaysia apabila pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selain pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun dari 2017 hingga 2019," menurut FAM.
Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung dan berjaya mencatat kejayaan meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh penglibatannya bersama kelab tersebut.

Dilantik atas rekod pencapaian yang baik
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pemilihan Bojan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.
"FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
"Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
"Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang," katanya.
Sebelum pelantikan Bojan Hodak, FAM telah mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun 2026, bagi menggantikan Peter Cklamovski yang telah ditamatkan kontrak melalui persetujuan bersama antara beliau dan FAM, berkuat kuasa pada 16 Jun 2026.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via