Kanak-Kanak Dua Tahun Cedera Parah Diserang Lima Anjing Liar Di Johor
Allahuakbar, kesiannya semoga urusan anak kecil ini dipermudahkan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun parah selepas dipercayai diserang lima ekor anjing liar di hadapan sebuah rumah di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Johor

Menurut laporan Buletin TV3, mangsa, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, 2, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah pada bahagian kepala dan muka selepas diserang haiwan berkenaan kira-kira jam 7 pagi.
Nenek mangsa, Darlinda Darlis, 57, berkata kejadian berlaku selepas ibu bapa Nur Haira menghantar kanak-kanak itu ke rumahnya sebelum ke Johor Bahru atas urusan kerja.
"Ibu bapa Nur Haira mahu ke Johor Bahru kerana urusan kerja, biasanya dia tinggal di sana (rumah datuk bapa) namun disebabkan abang dan kakaknya sudah lama di sini, dia mahu ikut sekali.
"Sebelum kejadian, Nur Haira baring di sebelah abang dan kakaknya sambil minum susu, manakala saya bersiap untuk mandi.
"Selesai mandi, saya cari Nur Haira dan ternampak pintu rumah terbuka. Saya keluar dan terkejut melihat lima ekor anjing sedang menggigitnya.
"Anak saya terdengar jeritan itu lalu keluar menyelamatkan Nur Haira. Keadaan cucu cedera di kepala dan muka," katanya.
Darlinda berkata, dia bersama anaknya kemudian membawa Nur Haira ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa dirawat di zon merah sebelum terpaksa ditidurkan dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berikutan kecederaan yang dialaminya
"Saya tak boleh bayangkan keadaannya ketika itu, saya nampak mata dia terbuka namun tidak bercakap apa-apa. Saya hanya menangis sepanjang perjalanan ke hospital kerana tidak sanggup melihat keadaannya.
"Tidak lama selepas itu, Nur Haira dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru memandang kecederaan dialaminya," katanya lagi.
Menurut Darlinda, anjing liar berkenaan dipercayai ditinggalkan pemburu selepas digunakan untuk memburu babi di kebun sawit berhampiran kediamannya.

"Mereka (pemburu) menggunakan anjing ini, bila selesai memburu, mereka tinggalkan anjing di sini. Kami sudah lama risau dengan anjing liar ini kerana ia semakin membiak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via