KBS Tampil Tanggung Kos Perubatan Hafizuddin Yang ‘Kehilangan’ Tangan Akibat Tragedi
Atlet kebangsaan itu baru sahaja memenangi pingat emas dalam Sukan Komanwel 2026 pada Julai.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Belia dan Sukan memutuskan menanggung semua perbelanjaan perubatan atlet angkat berat kebangsaan, Hafizuddin Roslin, selepas beliau mengalami kemalangan motosikal yang mengakibatkan tangan kanannya terpaksa dipotong
Dalam satu kenyataan hari ini, 18 November, Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari menyatakan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung semua kos berkaitan rawatan, termasuk pembedahan, rawatan susulan dan kos hospital sehingga Hafizuddin dibenarkan keluar dari hospital.
"Kerajaan, melalui MSN, akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perbelanjaan perubatan yang berkaitan dengan insiden tersebut, termasuk rawatan susulan dan penginapan di hospital sehingga beliau dibenarkan keluar," katanya.
Beliau menambah bahawa elaun latihan Hafizuddin akan terus diberikan seperti biasa berdasarkan kelayakan semasa beliau.

Atlet berusia 22 tahun itu menjalani pembedahan selama tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam tadi, melihatkan tangan kanannya dipotong pada paras bahagian atas siku
Hafizuddin, yang mesra disapa sebagai Udin, terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kira-kira jam 11 malam pada Isnin, 16 November, ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.
Pemuda kelahiran Perlis itu baru sahaja memenangi pingat emas dalam kategori 88kg lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang berlangsung pada bulan Julai lalu.

Taufiq, yang melawat Hafizuddin di HKL hari ini berkata beliau berasa lega melihat keadaan atlet itu serta semangat positif yang ditunjukkannya
Menerusi hantaran di Facebook, menteri itu turut menyentuh mengenai cabaran yang kini dihadapi Hafizuddin susulan kemalangan tersebut.
"Sejak di bangku sekolah, Udin bina kekuatan dengan tangannya sendiri. Hari ini beliau berdepan ujian yang jauh lebih berat. Saya tak dapat bayangkan betapa peritnya buat Udin dan keluarga.
"Alhamdulillah, pagi ini Udin dalam keadaan baik dan semangatnya cukup kuat. Janji saya, Udin tak akan keseorangan," tulis beliau.
Hafizuddin layak menerima manfaat insurans yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM120,000
Memandangkan Hafizuddin juga mencarum dalam Skim Perlindungan 24 Jam PERKESO, Taufiq menambah bahawa atlet tersebut layak menerima bayaran sekali gus yang dianggarkan berjumlah RM39,060.58, serta bayaran bulanan sebanyak RM915.84 seumur hidup. Beliau juga akan menerima RM38.16 setiap hari sepanjang tempoh cuti sakitnya, tanpa sebarang had bilangan hari.
Taufiq turut memberi jaminan bahawa keluarga Hafizuddin akan disediakan penginapan dan makanan sepanjang mereka menemaninya di HKL.
"Lepas ni, kita akan teliti sokongan jangka panjang buat Udin, termasuk pemulihan, kaunseling, penyesuaian hidup dan peluang masa depannya.
"Mohon semua sertakan Udin dan keluarga dalam doa. Moga moga Udin terus tabah," kata Taufiq.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via