Kena Rotan Berkali-kali Selama Sebulan, Ini Derita Murid 9 Tahun Tahfiz Yang Didera Ustaz
Sebabnya kerana mangsa tidak dapat hafaz Al-Quran dengan baik.
Tahun lalu, netizen disajikan dengan banyak kes melibatkan pelajar tahfiz yang menjadi mangsa dera dan buli. Malah, ada juga sehingga melibatkan kematian.
Bagaimanapun, kebanyakan kes itu melibatkan antara pelajar dengan pelajar sahaja. Lebih menyedihkan apabila ada mangsa dera ini terlalu muda dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.
Disebabkan terlalu banyak kes seperti ini juga membuatkan orang ramai mempunyai sikap prejudis terhadap sekolah tahfiz.
Baru-baru ini, muncul lagi kes melibatkan kes dera di sebuah pusat tahfiz yang terletak di Alor Setar, Kedah
Lebih mengejutkan apabila mangsa yang hanya berusia 9 tahun dipercayai didera oleh tenaga pengajarnya sendiri di mana dia dirotan berkali-kali dalam keadaan berbaring selama sebulan.
Memetik laporan Harian Metro, sebab 'penderaan' itu adalah kerana mangsa gagal untuk menghafaz Al-Quran dengan baik.
Semuanya terbongkar apabila abang mangsa yang turut berada di Pusat Tahfiz itu membuka mulut dan menceritakan kejadian tersebut kepada ibu bapanya
"Saya nampak adik kena pukul dengan ustaz. Dia disuruh baring dan dirotan berkali-kali. Sebelum ini adik bersekolah di sekolah (rendah) biasa. Dia ditukarkan ke sekolah (tahfiz).
"Ketika cuti sekolah (Disember lalu), emak hantar saya ke sekolah itu selama sebulan dan saya mula nampak adik dirotan ustaz.
"Ustaz tak bagi saya campur dan saya hanya mampu mendengar adik menangis sebab sakit. Saya beritahu emak dan ayah yang adik dipukul," katanya.
Kedua-dua ibu bapa mangsa segera membuat laporan polis setelah mengetahui tragedi yang menimpa anak mereka
Ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aida mengakui kesal dengan sikap tenaga pengajar itu.
"Saya tidak sangka anak kecil diperlakukan seperti itu. Habis bahagian belakang badan dan punggungnya lebam dan berbirat dipukul. Saya terima kalau pukulan untuk mengajar atau mendidik tetapi jangan sampai cedera teruk macam itu.
"Anak saya kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sejak 29 Januari lalu dan dia turut diberi kaunseling oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Sampai sekarang dia trauma dan tak cakap banyak mungkin sebab takut dengan apa yang dilaluinya. Setahu saya dia kena pukul sejak sebulan lalu.
"Saya tidak boleh terima perbuatan sebegini, mereka (tenaga pengajar) perlu guna cara berhemah, bukannya mendera atau memukul pelajar pada usia berkenaan," katanya.
Dipercayai tenaga pengajar itu kini sudah ditahan polis bagi membantu siasatan mengenai insiden tersebut.
Sudah terlalu banyak kes melibatkan pelajar tahfiz ini. Kasihan dekat anak-anak kecil tidak berdosa ini yang menjadi mangsa.