Kenapa Hannah Yeoh Minta Sebuah Lagi Tandatangan Rasmi Babitkan Perintah Tahanan Rumah Najib
Najib pada awalnya perlu menjalani hukuman penjara sehingga tahun 2028.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh mencadangkan agar seorang lagi pegawai kerajaan menandatangani perintah pengampunan bersyarat, yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah
Beliau berpendapat bahawa perintah tersebut membawa implikasi politik yang besar serta kesan yang mungkin timbul terhadap kerajaan.
Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bertarikh 18 September, yang kini telah dinyahklasifikasikan, menunjukkan bahawa Yeoh mengemukakan cadangan tersebut selepas menyentuh mengenai satu perintah pengampunan palsu yang tular di media sosial.
Beliau merujuk kepada Seksyen 14 Akta Perwakilan Kuasa 1956 dan mencadangkan supaya pegawai lain, seperti Ketua Setiausaha Negara, menandatangani perintah pengampunan bersyarat itu.
Cadangan dibuat selepas Yeoh dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, menyatakan bantahan terhadap pemberian tahanan di rumah kepada Najib
Terdahulu dalam mesyuarat tersebut, Mohd Dusuki berhujah bahawa tahanan di rumah tidak diiktiraf di bawah undang-undang Malaysia dan Najib seharusnya terus menjalani hukuman penjara sehingga tahun 2028. Yeoh kemudian menyatakan bahawa beliau sependapat dengan Peguam Negara.
Cadangan itu kemudiannya dipersoalkan oleh Datuk Wira Haji Nazim Mohd Alim, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Yang di-Pertuan Agong. Beliau menyatakan bahawa adalah tidak wajar bagi Ketua Setiausaha menandatangani perintah pengampunan bersyarat tersebut memandangkan beliau tidak terlibat dalam mesyuarat berkenaan.
Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Ketua Setiausaha bukanlah anggota Lembaga Pengampunan.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin, membangkitkan satu lagi kebimbangan dengan menyatakan bahawa tindakan membiarkan pihak lain menandatangani perintah itu boleh mencetuskan isu yang lebih besar, kerana ia memberi gambaran seolah-olah Yeoh tidak menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan tersebut.
Razarudin mencadangkan agar Yeoh sebaliknya membuat laporan polis berhubung perintah pengampunan palsu yang sedang tular di media sosial.

Hannah Yeoh bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Image via Hannah Yeoh (Facebook)Setelah menimbangkan pandangan yang dibangkitkan semasa perbincangan, Yang di-Pertuan Agong memutuskan bahawa Yeoh harus menandatangani perintah pengampunan bersyarat itu
Perenggan 1.22 dalam minit mencatatkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana menandatangani perintah itu terletak di bawah tanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan.
Seterusnya, Yeoh disenaraikan sebagai penandatangan di bawah frasa 'Atas Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia' dalam perintah pengampunan bersyarat yang terkandung dalam minit tersebut.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via