Kenapa Solat Menghadap Kaabah Sedangkan Yang Disembah Adalah Allah?
Boleh jawab tak soalan ini wahai kaum Muslimin dan Muslimat sekalian?
"Kenapa solat menghadap Kaabah?"
Satu soalan yang kami yakin ramai orang Islam tak boleh nak jawab, walaupun telah menganut Islam setelah sekian lama.
Tapi jangan risau. Kalau tak tahu, tiada salahnya untuk kita semua belajar dan mengetahui jawapan kepada soalan ini.
Sebelum kita pergi lebih jauh, apa kata kita hayati dulu maksud surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 di bawah:
Ayat 1: Alif, Laam, Miim.
Ayat 2: Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
Ayat 3: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
Ayat 4: Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
Ayat 5: Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
Dari 5 ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa kitab Al-Quran itu langsung tiada keraguan. Ia merupakan satu-satunya kitab yang orang Islam perlu beriman dan percaya 100% untuk berjaya dunia akhirat.
Sekarang kita lihat pula ayat 144 juga dari surah Al-Baqarah:
Ayat 144: Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
Pertama, kita perlu percaya bahawa tiada keraguan yang terkandung dalam kitab Al-Quran.
Kedua, dalam Al-Quran sendiri, Allah telah mengarah Nabi Muhammad SAW untuk menghadapkan muka baginda ke arah Masjidil Haram, tempat di mana terletaknya Kaabah.
Di sini, arahan Allah cukup jelas, iaitu memalingkan wajah kita ke arah Kaabah setiap kali kita solat. Jadi sebagai Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran, perbuatan ini tidak sepatutnya dijadikan persoalan. Kenapa?
Allah memerintahkan umat Islam untuk melakukan beberapa perkara yang mana fikiran manusia tidak dapat memahami hikmah sebenar, tetapi hanya mampu tunduk dan taat kepada perintah. Ini bertujuan bagi membezakan mereka yang betul-betul ikhlas dalam melakukan tuntutan mereka sebagai seorang Muslim semata-mata kerana Allah daripada orang-orang yang tidak ikhlas.
Allah Maha Mencipta, dan Dialah yang memberi arahan kepada manusia. Jadi, sesiapa yang taat, serta mengakui kelemahan diri, dan benar-benar mengharapkan rahmat dari Allah, mereka akan terus berserah dan mengakui kebenaran walaupun tidak faham mengenai sebab sesuatu ibadah itu dilakukan. Mereka adalah dikalangan orang Mukmin yang berjaya dunia akhirat.
Oleh itu, kita umat Islam beribadah menghadap ke arah Kaabah kerana Allah telah memerintahkan kita untuk berbuat demikian. Jika Dia memerintahkan kita untuk berpaling ke arah lain, kita akan menurut perintah tanpa soal.
Apa kata kita tanya diri kita 2 soalan di bawah:
1. Kenapa solat Subuh 2 rakaat, solat Zohor, Asar dan Isyak 4 rakaat, dan kenapa solat Maghrib 3 rakaat?
2. Kenapa kita melakukan Tawaf 7 kali mengelilingi Kaabah?
Mampukah kita menjawab soalan-soalan ini? Semestinya tidak, kerana ilmu Allah itu terlalu tinggi dan tidak tercapai oleh akal manusia. Allah Maha Mengetahui. Hanya Dia yang tahu.
Kita solat Zohor empat rakaat dan Maghrib dengan tiga dan Subuh dengan dua rakaat, kerana Allah telah memerintahkan kita untuk berbuat demikian. Kita melakukan Tawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah, dan melontar batu Jamrah sebanyak tujuh kali, dan kita tidak melakukan lebih daripada itu dalam apa jua keadaan. Semua itu adalah disebabkan Allah telah memerintahkan umat Islam untuk lakukan.
Jadi, ciri pertama yang membezakan orang-orang Mukmin daripada yang lain adalah hakikat bahawa mereka beriman kepada yang ghaib atau apa yang mereka tidak dapat memahami dengan akal fikiran
Orang Mukmin akan mengecap kegembiraan dan kebahagiaan yang besar serta kepuasan yang mendalam dalam hatinya, yang menjadikannya suka beribadah, kerana dia melakukannya semata-mata kerana Allah.
Setiap ibadah akan membawanya lebih dekat kepada Allah dan meningkatkan keimanannya sehingga dia bertemu Allah dan Allah akan memuliakannya sebagaimana Dia memuliakan hamba-hamba benar-Nya.
Tetapi, adakah itu memberi maksud bahawa umat Islam sebenarnya menyembah Kaabah, dan bukan Allah?
Semestinya tidak. Orang Islam menafikan menyembah Kaabah kerana ia bukan lambang ibadat. Kaabah hanyalah ARAH ibadat.
Ia adalah satu fakta yang diketahui untuk umat Islam bahawa kita tidak menyembah Kaabah tetapi hanya menyembah Allah sahaja. Terdapat bukti yang cukup untuk menyokong pendirian dan kepercayaan kita. Secara mutlak, kita jelas menafikan menyembah Kaabah.
Apabila melakukan solat, walaupun pemikiran menghadap ke arah Kaabah tidak hadir dalam minda, solat itu tetap sah, asalkan niat kerana Allah. Jelas di sini menunjukkan Kaabah itu hanyalah arah yang kita hadap semasa beribadah, tetapi Allah itu yang kita sembah.
Jika pada bila-bila masa Kaabah dimusnahkan, orang Islam tetap akan solat menghadap ke arah Kaabah. Oleh itu, kita boleh mengatakan tanpa was-was bahawa orang Islam tidak menyembah struktur batu itu. Kalau tidak, dengan kemusnahan Kaabah, solat serta ibadah-ibadah lain terus tak dapat diteruskan dengan ketiadaan Kaabah.
Jika seseorang membuat keputusan untuk menunaikan solat di atas bumbung Kaabah, solat itu tetap sah.
Kalau orang Islam sembah Kaabah, bukankah keterlaluan dan kurang ajar untuk meletakkan kaki di atasnya? Jadi kenapa solat masih sah? Ini kerana orang Islam sembah Allah, bukan Kaabah.
Sesuatu benda yang disembah mesti perlu ada di hadapan seseorang itu sewaktu upacara penyembahan dilakukan. Tapi berbeza pula bagi Kaabah.
Pada masa kini, umat Islam menunaikan solat pada tingkat dua dan di atas bumbung Masjidil Haram di 'Sanctuary of Makkah', menghadap ke arah Kaabah walaupun ia secara langsung tidak berada di hadapan.
Inilah yang berbilion-bilion umat Islam lakukan di seluruh dunia, iaitu solat ke arah Kaabah walaupun mereka tidak dapat melihatnya. Ini menunjukkan perbezaan yang besar diantara undang-undang Islam dengan tindakan kaum Musyrikin yang mana perbuatan menyembah berhala, batu-batu, dan pokok-pokok akan terhenti apabila objek-objek ini tidak wujud lagi di hadapan mereka.
Oleh itu, golongan ini tidak mempunyai arah yang tetap kerana mereka perlu melihat objek ibadat atau berhala mereka dahulu, baru ibadah boleh dilaksanakan.
Apa yang kita perlu tunjukkan adalah perbuatan kita menghadap ke arah Kaabah tidak ada kena mengena langsung dengan struktur Kaabah, sebaliknya ia mempunyai kaitan dengan lokasi
Seperti yang dikatakan tadi, jika Kaabah dimusnahkan, kita masih akan menghadap ke arah itu, bukan kepada struktur.
Sekiranya tidak ada satu arah tetap untuk kita hadapi, maka semua orang akan sesuka hati berpaling ke mana-mana arah, yang boleh mencetuskan perbezaan pendapat dan perpecahan dalam kalangan umat Islam. Oleh itu adalah penting untuk menyediakan hala tuju yang sama bagi menunjukkan kesatuan umat Islam di seluruh dunia.
Tapi kenapa ke arah Kaabah dan bukan ke arah lain?
Tiada siapa yang mempunyai hak untuk bertanya soalan ini. Allah Maha Mengetahui, dan hanya Dia yang tahu segala sesuatu. Semoga bermanfaat :)
Sumber rujukan islamqa.info dan Back to the Masjids Movement.
Inginkan lebih cerita menarik seperti ini? LIKE Facebook SAYS SEISMIK serta follow kami di Twitter dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!