Kenapa Warna Jersi Australia, Jepun, Belanda & New Zealand Tak Sama Dengan Bendera?

Patutlah!

Enlarge text
Cover ImageCover image via Independent

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Mungkin anda perasan ada beberapa pasukan dalam Piala Dunia FIFA kali ini memiliki warna jersi yang tidak sama dengan benderanya

Antara yang menjadi tumpuan ialah negara seperti Australia, Jepun, Belanda dan New Zealand.

Perkara ini telah tular di laman sosial X di mana orang ramai telah membincangkan isu warna jersi yang langsung tidak mengikut warna pada bendera negara.

Tapi, apa penerangan sebenar di sebalik penggunaan warna yang secara terangan berbeza dengan warna bendera untuk jersi bola sepak bagi empat negara ini?

1. Australia – warna emas diinspirasi daripada bunga kebangsaan

Walaupun bendera Australia hanya memiliki warna merah, putih dan biru, skuad sukan negara itu secara tradisinya memakai warna hijau dan emas sejak akhir 1800-an.

Hijau dan emas merupakan warna rasmi kebangsaan Australia yang diilhamkan daripada Golden Wattle (Acacia pycnantha), iaitu bunga kebangsaan mereka yang mempunyai daun hijau dan bunga kuning keemasan.

Penggunaan warna ini dalam sukan bermula sejak akhir abad ke-19 (bermula dengan sukan kriket) bagi membezakan pasukan Australia daripada negara Komanwel lain yang kebanyakannya menggunakan kombinasi warna bendera British (biru, putih dan merah).

SAYS.com
Image via Socceroos

2. Jepun – warna biru dipercayai membawa tuah

Pemilihan warna jersi Jepun berkait rapat dengan faktor sejarah dan kepercayaan tuah. Pada Sukan Olimpik 1936 di Berlin, pasukan bola sepak Jepun memakai jersi biru buat kali pertama dan berjaya mencipta kejutan besar dengan menewaskan pasukan kuat Eropah, Sweden, dengan keputusan 3-2. Sejak kemenangan bersejarah itu, warna biru dianggap membawa 'tuah' untuk bola sepak mereka.

Jepun pernah cuba memadankan warna jersi dengan bendera mereka. Antara tahun 1988 dan 1991, pengurus Kenzo Yokoyama menukar jersi untuk tempat sendiri kepada merah dan putih.

Perubahan tersebut disifatkan membawa kepada keputusan yang buruk apabila Jepun mengalami prestasi yang teruk dan gagal layak ke Piala Dunia FIFA 1990 dan Sukan Olimpik 1992.

Warna jersi dipersalahkan sebagai nasib malang, eksperimen membawa warna merah serta-merta dibatalkan dan Jepun kembali kepada warna biru yang dianggap 'tuah' sehingga hari ini.

SAYS.com
Image via CNN

3. Belanda – warna jingga lambang kedaulatan

Warna jingga dipilih sebagai penghormatan kepada keluarga diraja Belanda, iaitu House of Orange-Nassau. Sejarahnya bermula pada abad ke-16 apabila William of Orange memimpin gerakan pemberontakan rakyat untuk membebaskan Belanda daripada pemerintahan Sepanyol.

Bendera asal Belanda (Prinsenvlag) juga sebenarnya memiliki warna jingga, putih dan biru. Sekitar pertengahan abad ke-17, jalur jingga telah ditukar kepada merah.

Ahli sejarah mempercayai perkara ini sama ada disebabkan pewarna jingga cenderung pudar menjadi merah di laut atau disebabkan oleh perubahan politik daripada monarki.

Walaupun warna bendera mereka telah bertukar kepada merah, putih dan biru, warna jingga kekal menjadi simbol kebangsaan dan identiti mutlak penyokong sukan Belanda.

SAYS.com
Image via NDTV

4. New Zealand – mengenakan warna putih bagi membezakan dengan sukan ragbi

Jika pasukan ragbi mereka terkenal dengan jersi hitam (digelar All Blacks), pasukan bola sepak kebangsaan pula memilih warna sebaliknya iaitu putih sebagai warna jersi utama mereka.

Dalam perlawanan antarabangsa pertama mereka pada tahun 1922, New Zealand sebenarnya memakai jersi serba hitam. Sepanjang abad ke-20, mereka biasanya bermain dengan baju putih, stokin putih dan seluar pendek hitam.

Gelaran All Whites mula melekat secara rasmi semasa kempen kelayakan Piala Dunia 1982 apabila mereka memakai jersi serba putih bagi membezakan identiti sukan mereka dengan pasukan ragbi.

SAYS.com
Image via The I-5 Corridor

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS

You may be interested in: