Kerajaan Selangor Sediakan RM100,000 Bantu Isteri, Anak Teraniaya Isu Nafkah
Difahamkan, bantuan secara one-off itu disalurkan mengikut kadar yang ditetapkan BSK & JAKESS.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM100,000 menerusi Program Bantuan Nafkah Rahmah Selangor 2026 bagi membantu wanita dan kanak-kanak yang teraniaya akibat kegagalan penghutang penghakiman syariah membayar nafkah
Menurut laporan Malay Mail, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, bantuan kewangan sementara itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 50 keluarga yang terjejas sementara proses penguatkuasaan undang-undang dijalankan.
Difahamkan, bantuan secara one-off itu disalurkan mengikut kadar yang ditetapkan Jawatankuasa Pentadbiran Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari
Image via Media SelangorKadar bantuan ditetapkan sebanyak RM2,000 untuk isteri dan RM1,000 bagi setiap anak
"Inisiatif ini dilaksanakan menerusi JAKESS bagi membantu wanita dan anak-anak yang mempunyai perintah nafkah daripada Mahkamah Syariah tetapi gagal menerima bayaran daripada penghutang penghakiman.
"Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa naratif utama Bantuan Nafkah Rahmah ini adalah untuk menyalurkan kelegaan sementara kepada wanita dan kanak-kanak yang teraniaya, dan bukannya sebagai pengganti kewajipan bagi pihak yang sepatutnya bertanggungjawab menyediakan nafkah," katanya.
Ini syarat kelayakan:
- Pemohon mestilah beragama Islam dan bermastautin di Selangor.
- Pemohon juga perlu mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan serta memiliki perintah nafkah Mahkamah Syariah yang masih berkuat kuasa tetapi culas atau gagal dibayar oleh pihak penghutang.
- pemohon perlu memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan di bawah Garis Panduan Penyaluran Pendahuluan dan Bantuan Nafkah BSK, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
Mereka yang memenuhi kriteria boleh membuat permohonan secara terus di pejabat JAKESS menerusi BSK untuk menyemak kelayakan dan menyerahkan borang permohonan.
"Kerajaan negeri kekal bersiap siaga memastikan pemeliharaan hak kebajikan wanita dan anak-anak terus terbela serta tidak terabai di negeri ini.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa bekas suami dan bapa untuk tidak lepas tangan serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam melunaskan nafkah yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Syariah demi kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via