Kerajaan Tidak Akan Beri Permit Kepada Sindiket Servis Tangkap Gambar Sekitar KLCC
Ini bermakna perkhidmatan fotografi berbayar tanpa lesen adalah dilarang di kawasan tersebut.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan tidak akan mengeluarkan permit khas kepada individu yang menawarkan khidmat fotografi di kawasan pelancongan Kuala Lumpur atas sebab keselamatan
Menerusi laporan Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menegaskan hasil lawatan tapak bersama pihak pengurusan dan keselamatan mendapati lokasi berkenaan adalah berisiko tinggi untuk aktiviti mengambil gambar.
"Apa yang kita lihat isunya adalah isu keselamatan kerana kawasan itu tidak selamat untuk melakukan aktiviti mengambil gambar. Oleh sebab itu, atas dasar keselamatan, saya rasa kita tidak boleh pertimbangkan untuk beri lesen.
"Saya bukan nak lihat isu kebajikan 'ulat foto' dan aspek pelancongan semata-mata. Ia adalah faktor keselamatan," katanya.
Hannah memaklumkan, berdasarkan dua tinjauan dilakukan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pasukan keselamatan di KLCC mendapati sudah ada pengurangan aktiviti 'ulat foto' di lokasi berkenaan.

Kamera litar tertutup (CCTV) tambahan dipasang di kawasan tumpuan
"DBKL sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) tambahan di persimpangan berkenaan dan dalam lawatan tapak kita melihat ada kekurangan aktiviti (ulat foto) di situ. Polis juga sedang menjalankan operasi bersepadu berterusan bersama DBKL," katanya.
Turut dipasang di kawasan berkenaan adalah sistem hebahan dalam beberapa bahasa yang membuat pengumuman setiap 10 minit, memaklumkan pelancong untuk tidak menggunakan perkhidmatan 'ulat foto'.
Selain aspek keselamatan, Hannah menjelaskan pemeriksaan ke atas profil 'ulat foto' yang ditahan turut mendapati ada antara mereka terdiri daripada warga asing yang menggunakan identiti palsu.
"Sekarang ini bukan sahaja isu tak ada lesen tetapi menggunakan identiti palsu, bermaksud ada yang bukan warganegara. Oleh sebab itu, tidak boleh kita pertimbangkan pemberian lesen sekarang," katanya.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via