seismik

'Kesian Tengok Ayah Bawa Lori' - 5 Pelajar Kongsi Pendorong Mereka Untuk Terus Belajar

Tak semua bernasib baik.

Cover image via wiwo.de

Kesempitan hidup sering kali membuatkan kita tak dapat apa yang diinginkan

Ada yang nak pergi melancong tapi duit hanya cukup untuk perbelanjaan seharian. Ada yang nak makan kat hotel lima bintang tapi hanya mampu makan di gerai biasa dan ada yang ingin keluar daripada kesempitan hidup tapi tak tahu bagaimana.

Image via suakaonline.com

Kali ini kami nak kongsi kisah 5 orang pelajar yang menyambung pelajaran walaupun menghadapi masalah kewangan. Nak tahu apa yang membuatkan mereka tekad untuk terus sambung belajar dan apa yang menjadi pendorong mereka? Baca di bawah:

1. “Ibu kekuatan saya untuk menyambung pelajaran”

Fatien Najihah Mohd Razib

Image via ohbulan.com

Membesar tanpa kasih sayang seorang bapa bukanlah satu perkara yang mudah. Perceraian ibu dan bapanya telah menyebabkan Fatien Najihah Mohd Razib, 18, kehilangan sebelah sayap untuk bergantung. Tapi ternyata dia kuat kerana ketiadaan bapa tak mematahkan semangat Fatien, sebaliknya menjadi sumber kekuatan untuk menyambung pelajaran di Kolej Komuniti Hulu Langat dalam jurusan Sijil Teknologi Maklumat dengan tawaran Dermasiswa My Brighter Future TNB.

Dia mengakui masalah kewangan merupakan perkara yang paling ditakuti kerana hanya ibu yang bertungkus-lumus mencari nafkah. Tapi Fatien percaya dengan pendidikan, dia mampu untuk membawa keluarganya keluar daripada kesempitan hidup.

Fatien turut berharap adik lelakinya dapat mengikut jejak langkahnya menyambung pelajaran selepas tamat persekolahan kelak.

"Jangan jadikan masalah kewangan sebagai alasan untuk kita malas belajar. Berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, saya sendiri sentiasa menyimpan wang yang mak berikan," katanya.

2. “Saya kesian tengok ayah bawa lori…”

Pavithran A/L Anbukarassan

Image via ohbulan.com

Siapa yang mampu melihat ayah bertungkus-lumus membanting tulang empat kerat membawa lori bagi memberikan keselesaan kepada keluarga?

Bagi Pavithran A/L Anbukarassan, 18, bapanya menjadi pendorong utama untuk dia menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) di Politeknik Port Dickson Teluk Kemang.

Bagi anak pemandu lori ini, menyambung pelajaran adalah impiannya kerana dia tahu pendidikan dapat membantu meningkatkan potensi diri dan mendapat pekerjaan yang lebih baik bagi membantu keluarganya.

"Bila dapat tahu saya dapat peluang melanjutkan pelajaran dan ditawarkan Dermasiswa My Brighter Future TNB, saya tahu saya tak boleh lepaskan peluang ni. Ayah selama ni sokong kami empat beradik dan emak hanya suri rumah. Inilah masanya untuk saya balas jasa ayah. Sampai bila saya nak tengok ayah bawa lori,"ujarnya.

3. “Perjalanan rumah saya ke pasar 1 jam setengah”

Jerryson Jamba AK Rubing

Image via ohbulan.com

Bagi Jerryson Jamba AK Rubing, membesar sebagai anak petani dan tinggal di kawasan pedalaman Sarawak, menjadi sumber kekuatannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Port Dickson di Teluk Kemang.

Walaupun terpaksa berhijrah ke semenanjung untuk melanjutkan pelajaran, ia bukan penghalang buat Jerryson menggapai impian berjaya dalam pendidikan seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.

Dia juga tak merasakan statusnya sebagai anak bongsu daripada 5 beradik sebagai bonus untuk dia terus leka. Sebaliknya, sejurus saja tamat SPM Jerryson bekerja sementara di sebuah syarikat lori yang menghantar baja kilang ke ladang serata Sarawak.

"Saya tinggal di kawasan pedalaman dan untuk ke pasar saja sudah memakan masa 1 jam setengah. Itu tak termasuk keadaan jalan raya yang tak sempurna dan tiada capaian internet di rumah," katanya.

4. “Adik-beradik saya ramai. Mujur saya ditawarkan biasiswa.”

Nashrul Walidain

Image via ohbulan.com

Lain orang lain cabaran yang dihadapi. Nashrul Walidain, 18, yang berasal dari Perak pada awalnya agak berat hati untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kerana bimbang menyusahkan keluarganya.

Tapi Nashrul yakin jika dia berjaya dalam pelajaran, dia boleh membantu keluarganya mendapat kehidupan yang lebih senang di kemudian hari. Nashrul sendiri berasa bertanggungjawab membantu keluarganya sejurus tamat persekolahan apabila dia bekerja secara sambilan di restoran makanan segera berhampiran rumah.

Selepas mengetahui dia ditawarkan Dermasiswa My Brighter Future TNB, Nasrul terus nekad melanjutkan pelajarannya.

"Cabaran saya untuk melanjutkan pelajaran ialah adik-beradik saya ramai dan ayah saya pula sudah tidak bekerja," kata Nashrul.

5. “Mak saya ibu tunggal dan saya nak bahagiakan dia..”

Muhammad Amin bin Husni

Image via ohbulan.com

Muhammad Amin bin Husni, 18, tak pernah menyangka dia dan adik-beradiknya bakal kehilangan ayah ketika masih kecil. Ayahnya yang jatuh sakit meninggal dunia selepas terlantar selama 3 bulan di hospital.

Oleh kerana ayahnya bekerja sebagai mekanik, tiada apa yang ditinggalkan kepada keluarga selepas meninggal dunia. Ibu yang tak bekerja terpaksa mengambil upah menjahit bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

"Ibu kata jangan jadi seperi ibu. Ibu nak anak-anak ibu semua berjaya dunia dan akhirat," kata Amin.

Amin kini melanjutkan pelajaran dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik (Perubatan) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengikuti jejak abang dan kakaknya yang juga melanjutkan pelajaran ke menara gading.

'My Brighter Future' bantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran

Menyedari tak semua pelajar berkemampuan melanjutkan pelajaran ke menara gading, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berbesar hati menawarkan Dermasiswa dikenali sebagai My Brighter Future khusus kepada penuntut daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

TNB melalui Yayasan Tenaga Nasional bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 melalui penajaan pendidikan tinggi di IPTA.

Dermasiswa ini juga adalah sebagai satu galakan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dengan dermasiswa yang meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tempoh pengajian mereka tamat.

Semoga semua pelajar yang menerima Dermasiswa My Brighter Future daripada Tenaga Nasional Berhad dapat belajar bersungguh-sungguh dan dapat mengubah nasib keluarga.

Nak tahu lebih lanjut mengenai My Brighter Future, layari terus laman web rasmi di sini

Artikel di atas dipetik daripada portal OHBULAN! dan diterbitkan semula oleh SAYS Seismik.

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!