seismik

Kisah Di Sebalik Kejayaan Anak Bekas Penagih, Amirul Afiq Jadi Inspirasi Semua. Salute!

Menurutnya, kabelnya adalah yang di 'atas' sana.

Cover image via Twitter @amirulafeqq

Sejak 1959 hanya enam orang rakyat Malaysia sahaja yang terpilih untuk menjadi pelatih dalam Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA) dan tiga sahaja yang berjaya menamatkan latihan setakat ini

Amirul Afiq (tengah) bersama rakan-rakannya di USAFA.

Image via Instagram @amirulafeq

Amirul Afiq, 24, yang baru sahaja menamatkan latihannya di USAFA, Colorado, Amerika Syarikat, pada 24 Mei lalu telah menceritakan perjalanan hidupnya secara ringkas menerusi thread dalam akaun Twitter peribadinya, @amirulafeqq.

Dia yang turut mendedikasi kejayaannya ini kepada ibunya telah mendapat lebih kurang 10,000 retweet kisahnya di laman Twitter.


Menurut anak kelahiran Negeri Sembilan ini, dia tidaklah berasal dari keluarga tentera yang terkenal mahupun dari keluarga berpendapatan tinggi

Amirul Afiq bersama ibunya.

Image via Twitter @amirulafeqq

Bahkan kedua ibu bapanya telah pun bercerai dan dia dibesarkan oleh arwah datuknya yang merupakan seorang pesara tentera di Negeri Sembilan berbekalkan duit pencen arwah datuknya itu serta bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Ibu Amirul Afiq terpaksa meninggalkan mereka tiga beradik untuk bekerja di Kuala Lumpur.

Menurutnya, “Mama pulak kerja apa sahaja yang ada dekat KL. Pernah bekerja di restoran Secret Recipe, kerja housekeeping dan banyak hotel untuk balik sebulan sekali bagi duit dekat atuk and bawak sekali makanan macam nestum (kegemaran) untuk anak-anak yang beliau terpaksa tinggalkan."

Ayah Amirul Afiq yang merupakan bekas penagih dadah turut memberi impak dalam kehidupannya

Amirul Afiq bersama ibu dan adik-beradiknya.

Image via Twitter @amirulafeqq

Amirul Afiq berkata mereka adik-beradik dan ibunya kerap dicemuh orang ramai termasuk dari keluarga mereka sendiri.

Malah ada juga yang membangkitkan persoalan masa depan mereka sehingga ada yang mengata, mereka tiga beradik bakal mengikut jejak langkah ayah mereka, Ameruddin.

“Sebagai seorang anak kepada penagih dadah and ibu pulak bekerja jauh di Kuala Lumpur mencari rezeki. Mama dicemuh banyak kali dan dikatakan kami adik-beradik akan ikut jejak langkah ayah," katanya.



Pada mulanya, Amirul Afiq yang memang bercita-cita untuk menyambung pengajian di luar negara tidak tahu bagaimana cara untuk mengejar impiannya itu

Saya masa kecik dulu hanya mampu mendengar tanpa mampu berfikir. Bila saudara mara tanya UPSR nak berapa? Saya jawab nak 5A.

"Saya ingat lagi mereka cakap, 'jangan target tinggi sangat, biasa-biasa sahaja cukup', Yalah suruh realistik sikit mungkin sebab keluarga kami tidak pandai," ujarnya.

Amirul Afiq di sekolah bersama rakan-rakannya.

Image via Instagram @amirulafeq


Dia akhirnya berjaya mendapat 5A dalam UPSR serta merupakan cucu pertama datuknya yang mendapat tawaran masuk ke sekolah berasrama penuh iaitu di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR).

Kejayaan Amirul Afiq ini berterusan apabila dia turut mendapat kesemua A untuk peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Amirul Afiq yang masih bercita-cita hendak menyambung pelajarannya di luar negara hanya mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) sekadar sandaran sekiranya cita-citanya itu tidak kesampaian.



Walaupun tiada niat untuk ke UPNM namun atas desakan ibunya, dia akur atas dasar mahu memenuhi impian arwah datuknya untuk melihat cucunya menjadi askar

Amirul Afiq ketika di UPNM.

Image via Instagram @amirulafeq

“Namun peluang belajar di luar negara tidak terpadam di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). UPNM membuka peluang kepada semua pegawai kadet peluang belajar di luar negara.

“Saya dan kawan baik, Santos pun turut serta memohon. Saringan ke USAFA agak mencabar kerana tiada pengalaman persediaan ke luar negara," ujarnya lagi.

Menurut Amirul Afiq, untuk ke USAFA, seseorang itu perlulah melepasi syarat kelayakan peperiksaan SAT, lulus ujian fizikal dan proses temuduga yang disaring sendiri oleh pihak Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF).

“Semenjak 1959, seramai enam orang pelajar Malaysia diterima masuk ke USAFA. Boleh dikatakan, hanya tiga sahaja termasuk saya berjaya tamatkan latihan.

“Dan hanya seorang yang masih belajar. Setiap tahun hanya yang layak sahaja akan dihantar,” tambahnya.

Menyedari untuk sampai ke tahap itu bukanlah sesuatu yang mudah namun Amirul Afiq sedar terdapat sesetengah pihak yang menggunakan 'kabel' untuk mencapai cita-cita mereka.

“Bila mana orang lain ada kabel untuk dapat apa yang mereka mahu. Percayalah kita juga ada satu kabel di atas sana. Kepada Dia sahaja kita berdoa,” ujarnya dalam status terakhir thread akaun Twitternya.

Amirul Afiq turut menasihati orang ramai agar tidak memandang rendah kepada sesiapa pun

Dia yang pernah bekerja di kedai serbaguna 7Eleven serta pernah menjadi pelayan restoran di Hotel Garden pernah dilayan ibarat seseorang yang tidak mempunyai masa depan.

Walhal pada hari ini, ramai yang mengucapkan tahniah dan dia amat berterima kasih diatas ucapan-ucapan tersebut.



Boleh baca thread penuh Amirul Afiq ini di laman Twitter.

Di samping itu, Amirul Afiq turut meminta orang ramai untuk mengucapkan tahniah kepada ibunya kerana menurutnya, ibunya yang layak mendapat pujian

Menurutnya, ibunya kerap menangis kerana merindui kedua arwah datuk dan neneknya.

Dia hanya mahu ibunya menikmati saat ini sepenuhnya kerana tiada apa yang kekal selama-lamanya.

"Dalam masa beberapa hari, orang akan melupai siapa saya. Sementara saya masih boleh meminta pertolongan semua, sila ucapkan tahniah kepadanya," kata Amirul Afiq.



We are proud of you!

LIKE Facebook dan follow Twitter SAYS SEISMIK dan temui segala cerita mesti kongsi sekarang!

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: