Kisah Pemandu Bas RapidKL: Cerita Dari Pemilik Gerai Burger Vs Cerita Di Media Sosial
Anda tentukanlah sendiri.
Kecoh media sosial sejak malam tadi dengan video kejar-mengejar di antara beberapa buah motosikal dengan sebuah bas RapidKL
Dalam aksi yang sangat mendebarkan berdurasi 1 minit 39 saat itu, bas RapidKL tersebut dilihat telah dipandu dalam keadaan yang amat berbahaya sehingga menyebabkan empat orang awam cedera dan tujuh kereta dilanggar.
Pemandu bas itu dikatakan cuba melarikan diri setelah dikejar oleh beberapa buah motosikal kerana didakwa telah melanggar sebuah gerai burger di tepi jalan.
Apa yang terjadi sebenarnya?
Seperti yang dijangka, kes hangat sebegini pastinya akan mendapat perhatian ramai sehingga timbul pelbagai spekulasi dari pelbagai pihak.
Pelbagai "saksi" juga dilihat cuba tampil untuk memberi penjelasan tentang apa sebenarnya yang berlaku. Macam-macam persoalan bermain di fikiran seperti:
1. Siapa yang betul dan siapa yang salah?
2. Adakah benar pemandu bas itu melanggar kedai burger tersebut?
3. Adakah cerita-cerita yang tersebar itu boleh dipercayai?
1. Cerita yang tersebar di media sosial
Driver bas mengelak motor yang keluar dari simpang dan bus tersasar melanggar bucu gerai burger tepi jalan, menyebabkan Mak (penjual burger) yang sedang mengendong anak kecil terperanjat dan anak itu terlepas dari tangan!
Penjual burger berang dan marah kepada pemandu bas yang ketika itu telah pun memberhentikan basnya untuk melihat situasi gerai burger yang dilanggar. Tiba-tiba pemandu bas terpaksa bergegas lari untuk menyelamatkan diri apabila melihat peniaga burger tersebut sedang mengejarnya bersama-sama sekumpulan pemuda dari flat Columbia.
Peniaga burger sedar yang mak dan anaknya terselamat dan tidak mengalami apa-apa kecederaan namun terus nekad untuk mengejar pemandu bas itu. Pemandu bas yang sedar dirinya dikejar orang ramai terus memandu semula bas untuk menyelamatkan diri.
Jelas dari video rakaman yang diambil oleh si penjual burger kelihatan pemandu bas tersebut sedang dalam ketakutan yang teramat sehingga mendorong beliau memandu dalam keadaan yang mencemaskan dan berbahaya, yang akhirnya menyebabkan berlaku banyak pelanggaran.
Akhirnya pemandu bas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dia berusaha keluar dari bas dancuba melarikan diri tetapi akhirnya tertangkap juga. Dia dimaki hamun dan dipukul oleh peniaga burger dan orang ramai tanpa dibenarkan membela diri.
Video yang diambil oleh peniaga burger hanya separuh (hanya memaparkan pemandu bas yang cedera dipukul). Namun bagi yang tiada di lokasi kejadian, keadaan pemandu bas ketika Ambulans sampai adalah sangat kritikal (Dr sahkan 50/50 & kini berada di zon merah Hospital Ampang) kerana dia telah dibelasah dengan kayu dan samurai oleh peniaga burger dan rakan-rakan! (Tiada dalam video rakaman).
Kenyataan polis yang berada di lokasi kejadian ialah kes ini termasuk di dalam kategori Jenayah (302) jika pemandu bas tersebut meninggal dunia. Polis memandang berat tindakan melulu yg diambil oleh peniaga burger yang sahihnya salah di sisi undang-undang.
Semoga pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan telus dan cepat.
Sekian,
Yang berada di lokasi kejadian.
2. Cerita dari pemilik gerai burger
Selepas menerima pelbagai tohmahan dan kecaman, pemilik gerai burger tersebut, Muhammad Nurazri Mohd Arip, 22, atau Azri Arip tampil memberi penjelasan sebenar kepada Utusan.
Menurutnya, cerita-cerita yang tersebar di media sosial tidak benar dan beliau telah menjadi mangsa fitnah di Internet. Ketika kejadian berlaku, Azri yang sedang berada di rumah terdengar satu hentaman kuat lalu bergegas ke gerainya:
Baca luahan penuh Azri di bawah:
“Kejadian itu menyebabkan ibu saya tersepit dan saya menyuruh pemandu bas terbabit turun dari kenderaannya dan berunding secara baik namun berlaku sebaliknya.
“Dia menurunkan kesemua penumpang di pondok bas hadapan dan melarikan diri. Dia turut menghulurkan isyarat tangan agar mengejarnya seakan-akan mengajak untuk berlumba.
“Saya dan tiga orang lagi rakan sehelai sepinggang mengejar pemandu bas. Saya tidak membawa sebarang senjata termasuk pedang samurai dan kayu ketika mengejar suspek seperti yang dilaporkan di media sosial kecuali telefon bimbit," jelas Azri.
Menurutnya lagi, perbuatan menangkap dan membelasah pemandu bas itu dilakukan oleh orang awam, bukan dirinya dan rakan-rakannya.
Malah dia turut menafikan khabar angin tentang kesemua penduduk flat kediamannya turun padang untuk mengejar pemandu bas berkenaan.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana apabila sudah sampai di tempat kejadian orang awam sudah pukul dia memandangkaan cubaan dia melarikan diri.
“Saya berempat termasuk saya sahaja yang mengejar pemandu berkenaan, tidaklah sampai semua penduduk," jelas Azri lagi.