Kisah Di Sebalik Taman Tema 'Rooftop' Pertama Malaysia Yang Telah Ditinggal Lebih 10 tahun
Selepas dilanda kontroversi pada tahun 2007, Safari Lagoon tidak pernah pulih.
Taman tema air rooftop pertama di Kuala Lumpur, Safari Lagoon membuka pintu kepada para pengunjung 20 tahun yang lalu
Diangkat sebagai taman tema ketiga terbesar di Asia Tenggara, Safari Lagoon serta-merta menjadi destinasi popular dan hangat untuk percutian seisi keluarga sejak pertama kali dibuka pada tahun 1998.
Taman tema yang terletak di Pandan Perdana (sempadan Cheras dan Ampang) ini mendapat perhatian ramai pengunjung kerana kehijauan dan patung zirafah yang dapat dilihat berada di atas bumbung bangunan Pandan Safari Parade.
Malah sehingga ke hari ini, sesiapa yang memandu di sepanjang Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pasti akan terlihat struktur bangunan warna hijau yang masih berdiri kukuh di tepi jalan.
Keunikan yang ada pada Safari Lagoon - dibina di atas bumbung bangunan tujuh tingkat - menjadikannya begitu tertarik untuk dilawati
Taman tema berkonsepkan 'hutan dalam bandar' ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk gelongsor air, kolam ombak dan taman permainan kanak-kanak.
Selain itu, ia menampilkan panorama kehijauan hutan yang dikelilingi unggas dan haiwan bagi mewujudkan suasana yang sama seperti di dalam safari.
Walaupun sangat popular di kalangan pengunjung, terutama penduduk di kawasan Lembah Klang, Safari Lagoon dilanda isu pada tahun 2007.
Satu rahsia besar telah terbongkar: Safari Lagoon telah beroperasi tanpa lesen selama lapan tahun.
Pada tahun 2007, seramai 19 pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diberikan surat tunjuk sebab kerana terdapat unsur kecuaian dalam aspek tanggungjawab berhubung kes di Taman Tema Air Safari Lagoon.
Difahamkan bahawa Safari Lagoon telah diperintah tutup pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, pintu taman air kekal terbuka kepada pelawat selama dua tahun lagi, dengan MPAJ gagal mengambil tindakan terhadap operator.
Operasi haram Safari Lagoon mula terbongkar pada Januari 2007 selepas berlaku satu kemalangan aneh
Dilaporkan bahawa salah seorang pekerjanya mati lemas akibat terperangkap dalam penyedut air tekanan tinggi. Pekerja itu dilaporkan maut ketika cuba mengambil barang yang ditinggalkan oleh pengunjung.
Sejak daripada itu, Safari Lagoon tidak pernah pulih dari kontroversi tersebut.
Ia kemudian ditutup dan tapak taman tema itu dibiarkan terbengkalai dalam keadaan usang sehingga kini.
Pada satu masa, sebahagian ruang atas bumbung itu diambil oleh Restoran Anjung Kayangan Steamboat & Seafood. Bagaimanapun, restoran itu tidak bertahan lama dan akhirnya ditutup.
Hari ini, bukan setakat taman tema Safari Lagoon yang terbengkalai, tetapi seluruh bangunan juga tidak berpenghuni dan usang.
Malah, Kompleks Beli-Belah Pandan Safari ini dilanda beberapa lagi kontroversi lain sejak kebelakangan ini.