KJ: “BN Jangan Hanya Membangkang Semata-Mata Kerana Kita Pembangkang”
Beliau juga menyatakan penghargaannya kepada Tun M diatas peruntukan yang diberi kepada BN
Pengerusi Barisan Nasional (BN) tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang dalam sidang pertama Parlimen yang dijadualkan bermula 16 Julai ini, malah perlu memberi tumpuan kepada usaha menstrukturkan semula parti
Berikut adalah petikan daripada kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, atau lebih dikenali sebagai KJ dalam laman Facebook peribadinya.
Selain itu, KJ juga berpendapat tugas-tugas perundangan di Parlimen harus dipikul oleh pasukan lain yang dipandu mengikut pendirian serta polisi BN.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar BN segera memulakan persiapan untuk sidang Parlimen pertama.
“Langkah pertama adalah untuk memisahkan tugas antara parti BN dan juga wakil-wakil rakyat BN di Parlimen. Pengerusi BN tidak semestinya menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen,” katanya.
Tambahnya, beliau bagaimanapun sedar BN tidak akan diterima serta-merta sebagai sebuah pembangkang yang berwibawa, namun tetap akan memainkan peranan untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan Pakatan Harapan
Katanya, "Sebagai pembangkang, BN juga akan mengusahakan supaya peranan Parlimen diperkukuhkan lagi. Saya akui perkara ini tidak dibuat sepenuhnya pada pentadbiran BN, tetapi semangat Malaysia baharu ini menuntut untuk kita semua berubah, terutamanya BN."
Beliau juga berkata sebagai pembangkang, BN meminta diberikan peruntukan masa semasa sidang Dewan Rakyat bagi membawa agenda pembangkang untuk perbahasan ataupun dengan mengadakan sesi khas seperti Soalan kepada Perdana Menteri.
Dalam pada itu, KJ menghargai peruntukan RM100,000 yang diberi kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat BN seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam, 6 Jun, seperti dalam laporan MalaysiaKini
Beliau menambah, "Walaupun jumlahnya tidak sama dengan apa yang diberi kepada rakan-rakan dari PH, pemberian ini lebih baik daripada apa yang diamalkan kami dahulu yakni tiada apa-apa peruntukan diberi kepada wakil-wakil rakyat pembangkang."