KLIA Ekspres & Transit Dikenakan Kenaikan Tambang, Naik RM10 Kepada RM65 Mulai Januari 2027
Kali terakhir tambang diselaraskan adalah pada 2016.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit perjalanan sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bakal dikenakan kenaikan daripada RM55 kepada RM65 mulai 1 Januari tahun depan
Menerusi laporan Berita Harian, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memaklumkan pihaknya akan menyelaraskan tambang perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit berkuat kuasa 1 Januari 2027.
"Tambang standard sehala bagi penumpang dewasa untuk perjalanan antara KL Sentral dan KLIA (Terminal 1 dan Terminal 2) akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65, manakala tambang bagi semua sektor lain turut diselaraskan sewajarnya.
"Pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun. Kali terakhir tambang diselaraskan pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan.
"Langkah itu akan menyokong usaha berterusan ERL untuk mengekalkan serta menyediakan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti kepada penumpang," katanya.
Menurutnya, pelarasan tambang itu adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan kerajaan.

ERL dalam masa yang sama sedang bekerjasama dengan pelbagai rakan strategik untuk memberi tawaran istimewa buat pengguna
Antara yang disediakan adalah tawaran diskaun tiket eksklusif hingga 30 peratus mulai Januari 2027.
"Ia sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada penumpang menikmati penjimatan bagi perjalanan mereka.
"Butiran lanjut akan diumumkan selepas urusan berkenaan dimuktamadkan," kata Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor.
Orang ramai boleh menghubungi Pusat Pertanyaan Pelanggan di talian 03-2267 8000 atau melayari www.KLIAekspres.com untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tambang baharu bagi semua produk dan perkhidmatan ERL.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via