KPDN Kaji Undang-Undang Baharu Bagi Tangani Kegiatan ‘Ulat Tiket’ Di Malaysia
Difahamkan, langkah berkenaan bertujuan melindungi pengguna daripada harga tiket yang melampau serta risiko penipuan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan kajian bagi menggubal undang-undang khusus untuk membendung kegiatan 'ulat tiket' yang menjual tiket pada harga jauh lebih tinggi daripada harga asal

Gambar sekadar hiasan.
Image via Indahnya IslamMenurut laporan Berita Harian, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata kajian itu dijangka dimuktamadkan sebelum dibawa ke peringkat pelaksanaan pada tahun hadapan.
Difahamkan, langkah berkenaan bertujuan melindungi pengguna daripada harga tiket yang melampau serta risiko penipuan, memandangkan Malaysia masih belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus untuk menangani kegiatan itu secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) di Dewan Rakyat, hari ini, berhubung kajian penggubalan undang-undang bagi menangani aktiviti berkenaan.
Fuziah berkata, kajian itu turut meneliti Seksyen 15(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengenal pasti ruang perundangan yang boleh digunakan untuk membangunkan kerangka kawal selia berkaitan.
Selain itu, KPDN turut mengkaji pendekatan yang dilaksanakan di Australia, Ireland, Kanada, Jepun, Taiwan dan Singapura bagi mengenal pasti kaedah yang sesuai dengan keperluan negara
Antara aspek yang diberi perhatian termasuk takrifan scalping, pembelian tiket secara pukal melalui platform dalam talian menggunakan bot atau individu, pengesahan identiti pembeli dan pemegang tiket serta kesesuaian mekanisme kawalan harga dan peruntukan antipencatutan sedia ada.
Menurutnya, cabaran penguatkuasaan juga diteliti bagi memastikan peraturan yang bakal diwujudkan dapat dilaksanakan dengan berkesan, termasuk mengambil kira ciri transaksi tiket bagi acara yang berlangsung sekali sahaja.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh
Image via Berita HarianImage viaDalam pada itu, KPDN akan mempergiat advokasi pengguna dan mengadakan libat urus dengan penganjur acara bagi menggalakkan penjualan tiket yang lebih telus, termasuk penyampaian terma dan syarat pembelian yang jelas.
Fuziah berharap peraturan baharu itu dapat menyediakan mekanisme kawal selia yang lebih sesuai untuk membendung kegiatan 'ulat tiket' serta memperkukuh perlindungan hak pengguna.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via