KTMB Sedia Lebih 11,000 Tempat Duduk Tambahan Sempena Sambutan Perayaan Deepavali
Rancang perjalanan anda sekarang!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tren tambahan bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KTMB, inisiatif ini turut bertujuan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang yang ingin pulang ke kampung halaman atau merancang perjalanan bersama keluarga.
Menurut KTMB, bagi tempoh 5 hingga 9 November 2026, pihaknya akan menawarkan dua perkhidmatan ETS tambahan setiap hari bagi laluan Padang Besar–KL Sentral–Padang Besar, selain empat perkhidmatan ETS tambahan setiap hari bagi laluan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral mulai 6 hingga 9 November 2026.
"Turut ditawarkan ialah empat perkhidmatan EMUPlus tambahan mengikut tarikh operasi yang ditetapkan bagi menampung keperluan perjalanan penumpang ke Ipoh sepanjang musim perayaan tersebut," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 11,888 tempat duduk tambahan ditawarkan menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus
Bagi laluan Padang Besar–KL Sentral–Padang Besar, sebanyak 3,160 tempat duduk tambahan ditawarkan, termasuk kemudahan koc kelas perniagaan, disediakan sepanjang lima hari pengoperasian. Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka pada 27 Oktober 2026 (Selasa), mulai jam 12.00 tengah hari.
Sementara itu, bagi laluan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral, KTMB menyediakan sebanyak 5,056 tempat duduk tambahan menerusi empat perkhidmatan ETS setiap hari dari 6 hingga 9 November 2026. Penjualan tiket bagi laluan ini telah dibuka lebih awal, iaitu sejak 7 September 2026.
Selain perkhidmatan ETS, KTMB turut menawarkan 3,672 tempat duduk menerusi perkhidmatan EMUPlus yang melibatkan laluan Bandar Tasek Selatan–Ipoh–Klang dan sebaliknya, pada tarikh-tarikh tertentu antara 5 hingga 9 November 2026. Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka pada 27 Oktober 2026 (Selasa), mulai jam 12.00 tengah hari.

Inisiatif yang menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan KTMB dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan pengangkutan rel
KTMB memaklumkan perkhidmatan tambahan ini diharap dapat memberikan perjalanan yang lebih lancar, selesa dan selamat kepada para pengguna.
Menurut KTMB, para pengguna boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile, KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB (www.ktmb.com.my) bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.
Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.
"Para pengguna juga diingatkan untuk tiba 30 minit lebih awal di stesen, kerana pintu masuk akan ditutup lima minit sebelum tren berlepas," jelas KTMB.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via