"Kubur Dah Jadi Rumah Kedua" - Rider Buat Ramai Sebak Baring Sebelah Kubur Ibu Sebab Rindu
Kehilangan ibunya secara tiba-tiba meninggalkan kesan kepadanya dan keluarganya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang penghantar makanan mencuri perhatian ramai selepas gambarnya berbaring di sebuah kubur tular di media sosial
Menerusi hantaran di laman Facebook Su Ahmad, dia berkongsi pemuda berkenaan sering menziarahi kubur ibunya selepas terbabit dengan kemalangan.
"Selalu nya kalau saya ke sini, pagi ke petang ke, dia ada datang ziarah kubur ibu dia. Kalau datang siap bawak air teh ikat tepi. Lama dia bersila tepi kubur ibu dia.
"Anak-anak saya cerita dia memang hari-hari ziarah kubur ibu dia yang meninggal sebab kemalangan jalanraya. Ibunya penjual nasi lemak di Bangi ni juga.
"Rupanya masa saya dalam iddah, anak-anak saya kan hari-hari ziarah kubur baba depa, jadinya rider FP ni pun bertanya kot. Itu yang budak-budak ni tahu kisah dia. Ibu rider ni meninggal sebulan lebih selepas suami saya dikebumikan di situ," tulisnya.
Malah, wanita turut tertanya-tanya keadaan rider berkenaan yang dilihat sudah sekian lama tidak kelihatan menziarahi di kubur.
"Saya cuba husnuzon, mungkin dia dah masuk Universiti mana-mana. Mungkin jauh, tu tak datang-datang tu. Semoga Allah sentiasa merahmati dia dan memudahkan urusan dunia dan akhirat dia. Nampak baik budaknya walaupun saya tak pernah bersembang dengan dia. Cara dia santuni kubur ibu dia pun, boleh tahu macamana akhlak dia," tulisnya lagi.
Beritahu berbaring di pusara ibu dapat mengimbau kenangan manis bersama
Menerusi temu bual bersama Kosmo, tindakan Abdul Azim, 28 tahun itu, bukan sekadar luahan rindu, tetapi cara untuk menghidupkan semula memori indah bersama arwah ibunya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 7 Jun lalu.
"Dulu di rumah, saya selalu baring kacau-kacau umi sebab dia ada depan mata. Sekarang pun saya nak baring dengan dia, cuma dipisahkan oleh alam lain. Kubur dah jadi rumah kedua saya setelah umi pergi," katanya.
Pemuda itu yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, mengakui setiap kali berbaring di pusara ibunya, dia akan mengimbau kenangan manis bersama arwah.
"Saya terkenang waktu umi suruh saya ambil daun pisang, pasang payung untuk berniaga pagi, atau beli santan. Saya juga suka kacau umi waktu dia sibuk memasak untuk jual. Lepas balik kerja atau habis main badminton, saya selalu makan malam dengan umi sambil luah apa-apa yang terbuku," katanya.
Kongsi rutin 'istimewa' bawa seikat air teh setiap kali ziarah kubur
Abdul Azim juga mendedahkan satu rutin istimewa setiap kali dia menziarahi kubur ibunya iaitu akan membawa seikat air teh.
"Setiap kali saya datang, saya akan bawa seikat teh, sebab itu kegemaran umi. Dia selalu suruh beli waktu pagi sebelum saya pergi kerja. Kenangan itu paling saya tak boleh lupa.
"Kami semua tak sempat jumpa arwah buat kali terakhir. Saya sampai di tempat kejadian pun dah lewat. Saksi telefon abi guna telefon umi. Mujur saya dah buang kata kunci telefon umi lama dulu, rupanya ada sebab. Waktu itu, saya hanya sempat merangkul dan meriba umi sambil menahan air mata," luahnya.
Kehilangan ibunya, yang berlaku secara tiba-tiba akibat kemalangan motosikal, meninggalkan kesan mendalam kepada Abdul Azim dan keluarganya.
Dapat rasa dia punya sedih tu macam mana, semoga arwah ditempat dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!