seismik

Nenek Besarkan Dua Cucu Beragama Islam, Selalu Pesan Jangan Tinggal Solat

Saya sayangkan mereka tanpa ada sebarang perbezaan dan halangan" - V Chandra.

Cover image via Berita Harian

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Meskipun ramai yang meragui dan menanamkan persepsi negatif terhadapnya, nenek berusia 64 tahun membuktikan dia berjaya membesarkan dua cucunya yang beragama Islam

Menerusi laporan Berita Harian, cucunya yang bernama Jasmine Hawa Abdul Nur, 18, dan Roselyn Aisyah Abdul Nur, 16, sudah tiga tahun tinggal dengan nenek mereka yang berbeza agama selepas kehilangan ibu pada 2021 akibat Covid-19.

Perkara itu tidak dapat memisahkan hubungan darah antara V Chandra yang beragama Hindu dengan dua cucunya dan kasih sayang terhadap mereka tidak berbelah bahagi.

"Pada awal cucu tinggal dengan saya, ramai memandang serong dan mempertikaikan kemampuan saya menjaga cucu kerana perbezaan agama, malah cucu saya turut menerima kesannya.

"Ketika itu mereka baru sahaja kehilangan ibu dan terpaksa berhadapan dengan orang sekeliling terutama rakan di sekolah mengenai situasi kami," katanya.

Image via Berita Harian

Tititkberatkan bab makanan halal, tegur jangan tinggal solat

Ditanya mengenai dari segi penyediaan makanan, Chandra berkata dia faham mengenai amalan dan ibadah dalam Islam dan menitikberatkan perkara itu terutama mengenai solat dan aspek makanan halal.

"Mereka buat amalan dan ibadah mereka, saya selalu ingatkan serta tegur supaya bersolat. Mereka dengan amalan mereka, saya dengan kepercayaan dan tidak ada halangan antara satu sama lain.

"Dari segi pemakanan pula, saya rasa mereka tiada masalah kerana saya seorang 'vegetarian'. Malah saya pula menyediakan makanan seperti ayam dan daging untuk cucu.

"Jika beli di kedai, saya pastikan kedai berkenaan halal atau restoran Muslim. Malah mereka sendiri sering bertanya sama ada saya beli di kedai halal atau tidak," katanya.


Bapa 'hilang' begitu sahaja, besarkan cucu dengan penuh kasih sayang

Chandra juga menceritakan kisah bagaimana dua cucunya itu tinggal bersamanya. Menurutnya, anak perempuannya yang memeluk Islam meninggal dunia pada Ogos 2021.

"Bapa mereka juga tidak dapat dikesan dan ketika mereka hilang tempat bergantung. Sebelum itu memang hubungan kami baik dan mereka sering berkunjung terutama pada sambutan perayaan," katanya.

Jelasnya Jasmine Hawa akan menyambung pelajaran di Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bulan depan, manakala Roselyn Aisyah berada di Tingkatan Empat.

"Saya buktikan mampu besarkan mereka walau berbeza agama. Saya sayangkan mereka tanpa ada sebarang perbezaan dan halangan," katanya.

Sementara itu, Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed, berkata pihaknya sudah berbincang dengan pihak Baitulmal dan Jasmine Hawa layak menerima bantuan RM1,500 bagi satu semester.

"Dia juga akan mendapat bantuan komputer riba selain itu pihak MAIWP juga memaklumkan Jasmine layak menerima bantuan duit bulanan.

"Memang dari dahulu kami memantau dan membantu keluarga ini memandangkan perbezaan agama antara cucu dan nenek.

"Sudah tiga tahun berlalu dan saya rasa cucunya berjaya dalam pelajaran, kami anggap Chandra berjaya menolak persepsi negatif orang ramai," katanya.

Image via Berita Harian

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik

Lagi artikel menarik di SAYS Seismik:

You may be interested in: