Mangsa Banjir Yang Kehilangan IC & Surat Beranak Akan Dikecualikan Daripada Denda
Kebanyakan mangsa banjir mengakui sudah menyimpan kad pengenalan dan sijil kelahiran di tempat yang selamat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mangsa banjir yang kehilangan dokumen termasuk kad pengenalan dan surat beranak dikecualikan denda ketika memohon gantian
Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Mohamad Nasir Kareem, berkata dua pasukan Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) dianggotai 12 pegawai dan kakitangan akan digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) bagi membantu mangsa.
Beliau berkata, pasukan itu akan membantu mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri untuk membuat laporan dan permohonan gantian dokumen baharu di PPS.
"Pegawai dan kakitangan JPN negeri sudah diminta bersiap siaga untuk digerakkan ke PPS dengan membawa peralatan lengkap untuk menyediakan permohonan dokumen gantian.
"Walaupun pihak berkuasa sentiasa mengingatkan orang ramai agar menyimpan dokumen di tempat yang selamat, tetapi kehilangan dokumen berlaku di luar jangka," katanya kepada media.
Mengulas lanjut, Mohamad Nasir berkata, kebanyakan mangsa banjir mengakui sudah menyimpan dokumen penting termasuk kad pengenalan dan sijil kelahiran di tempat yang selamat.
"Antara alasan diberikan mangsa banjir adalah gagal menyelamatkan dokumen disebabkan air naik melebihi paras biasa.
"Kita faham masalah dihadapi mangsa banjir dan kita komited membantu mereka untuk mendapatkan dokumen gantian," katanya.
Beliau juga mengingatkan mangsa supaya memulangkan dokumen yang dijumpai di kaunter JPN kerana dokumen itu tidak sah digunakan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!