Lebih 5,000 Kes Keganasan Rumah Tangga Dilaporkan Setakat Bulan Ogos Lalu – KPWKM
Difahamkan, keganasan rumah tangga turut berlaku melalui penyalahgunaan teknologi dan dalam bentuk ugutan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebanyak 5,278 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara hingga Ogos lepas, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Menerusi laporan Bernama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Maziah Che Yusoff berkata daripada jumlah itu, Perlis merekodkan 40 kes berbanding 48 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas.
Beliau berkata penurunan itu satu perkembangan positif dan memberikan isyarat jelas bahawa usaha advokasi, kesedaran dan pencegahan perlu diteruskan secara konsisten.
"Namun, angka ini tidak boleh dilihat sebagai statistik semata-mata. Di sebalik setiap kes yang dilaporkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perlindungan, intervensi dan sokongan berterusan.
"Matlamat utama kita adalah untuk membina masyarakat yang lebih peka, berani bertindak dan tegas menolak segala bentuk keganasan rumah tangga," katanya.

Keganasan rumah tangga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk
Maziah berkata dalam era digital, keganasan rumah tangga turut berlaku melalui penyalahgunaan teknologi dan dalam bentuk ugutan yang mengaibkan melalui apa-apa medium komunikasi.
Beliau berkata eksploitasi ekonomi serta sekatan terhadap pergerakan dan hubungan sosial juga termasuk dalam bentuk keganasan rumah tangga, selain penderaan emosi dan psikologi serta keganasan seksual.
"Keganasan rumah tangga boleh bermula secara halus melalui kawalan secara melampau, ugutan, penghinaan atau sekatan kewangan yang kerap dianggap remeh pada awalnya.
"Justeru, kita perlu peka terhadap isyarat awal, berani keluar untuk mendapatkan bantuan dan menolak tanggapan bahawa keganasan rumah tangga adalah urusan dalaman keluarga yang wajar didiamkan," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via