Legenda Bola Sepak Brazil, Roberto Carlos Tampil Nafi Peluk Agama Islam
Bekas pertahanan Real Madrid itu menjawab khabar angin mengenai agamanya.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Roberto Carlos menafikan laporan legenda bola sepak Brazil tersebut peluk Islam selepas berkahwin dengan ahli perniagaan Maghribi, Souheila Tahiri
Menerusi laporan Berita Harian, bekas pertahanan Real Madrid itu menjawab khabar angin mengenai agamanya dan menegaskan laporan berkenaan adalah tidak benar.
"Saya sangat menghormati Islam dan amat indah melihat isteri saya menunaikan solat, tetapi khabar angin yang tersebar mengenai saya memeluk Islam adalah tidak benar," katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas laporan tersebar di media sosial selain beberapa saluran media mendakwa bekas pemain berusia 53 tahun itu sudah memeluk Islam kira-kira empat minggu lalu.
Beberapa gambar telah tersebar dalam talian didakwa menunjukkan pasangan berkenaan melangsungkan majlis perkahwinan secara Islam di hadapan seorang tokoh agama.
Bagaimanapun, Carlos menolak dakwaan itu dan menjelaskan sambutan perkahwinan mereka merangkumi beberapa bentuk majlis bagi menghormati pegangan kepercayaan ahli keluarga dan rakan-rakan kedua-dua pihak.

Carlos memaklumkan mereka mahu meraikan ahli keluarganya yang beragama Katolik, selain mengadakan majlis yang mencerminkan latar belakang isterinya dari Maghribi
Pelbagai unsur dalam sambutan perkahwinan itu dipercayai menyumbang kepada spekulasi mengenai pegangan agama Carlos dan mencetuskan laporan bahawa dia sudah memeluk Islam
Kenyataan terbaharunya menamatkan spekulasi mengenai kepercayaannya, selain menonjolkan usaha pasangan itu untuk menghormati perbezaan tradisi budaya dan agama dalam keluarga masing-masing
Menurut legenda Brazil itu, mereka pertama kali bertemu dalam satu pertemuan perniagaan berkaitan bola sepak. Dia menyifatkan Tahiri sebagai ahli perniagaan yang berjaya dan berkata hubungan mereka sudah terjalin selama kira-kira dua tahun.
Perkahwinan itu menarik perhatian di Maghribi dan Brazil, khususnya kerana latar belakang Tahiri sebagai wanita Maghribi dan status Carlos sebagai antara tokoh paling dikenali dalam bola sepak dunia.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via