Lelaki Dihukum Penjara, Guna Kad Pengenalan Palsu Untuk Kerja Sebagai Guru Selama 29 Tahun
Difahamkan, kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN tetapi taraf Pemastautin Sementara.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Mahkamah Majistret Keningau menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM6,000 ke atas seorang lelaki atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu
Menerusi laporan Berita Harian, tertuduh, Ridal Abdul Kadir, telah menggunakan kad pengenalan itu untuk bekerja selama 29 tahun sebagai seorang guru di sebuah sekolah di Tenom, Sabah.
Tertuduh yang mengaku bersalah dijatuhi hukuman oleh Majistret Nur Asyraf Zolhani dan diarahkan menjalani hukuman dari tarikh tangkap pada 29 Januari lalu.
Ridal juga diberitahu bahawa kegagalan membayar denda RM6,000 yang ditetapkan akan menyebabkan dia dikenakan enam bulan penjara tambahan. Dia bagaimanapun membayar denda tersebut.
'Kantoi' ketika pemeriksaan dokumen
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya
Berdasarkan kepada fakta kes, satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan parkir kuarters guru sekolah tersebut pada jam 11.30 pagi, 29 Januari lalu.
Tertuduh kemudiannya ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 dengan nama Ridal Bin Abdul Kadir.
Melalui semakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan biru warganegara palsu untuk bekerja sebagai guru di sekolah berkenaan
Nombor dan nama sama sebagai pemaustatin sementara
Semakan rekod menunjukkan bahawa dokumen pengenalan diri taraf Pemastautin Sementara pernah dikeluarkan oleh pihak JPN dengan nombor dan nama yang sama.
Tertuduh juga didapati memiliki Dokumen Pengenalan Sementara dengan nombor dan nama sama. Selain itu, Ridal turut memiliki Daftar Kelahiran bertaraf bukan warganegara.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Naser Mohd Nadzeri memohon agar tertuduh dikenakan hukuman dalam bentuk pencegahan.
Sehubungan dengan itu, peguam yang mewakili Ridal, Korventt Wheezar, meminta agar hukuman ke atas tertuduh diringankan.
Ini adalah kerana tertuduh tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa berkelakuan baik sepanjang 29 tahun mengajar di sekolah berkenaan serta tertuduh juga telah mengaku salah dalam kes berkenaan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!