Lelaki Warga Asing Tetak Polis Hingga Putus Tangan Maut Ditembak Ketika Cuba Ditahan
Suspek disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas ditembak polis susulan tindakannya menyerang seorang anggota polis menggunakan parang sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan mangsa putus dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, pada Rabu
Menurut laporan Berita Harian, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke sebuah pangsapuri bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik sahaja pintu kediaman dibuka, suspek secara tiba-tiba meluru keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota keselamatan yang berada di hadapan pintu.
Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya putus, selain turut cedera di bahagian kepala dan badan.

Anggota polis lain yang berada di lokasi kemudian berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke tingkat bawah
Bagaimanapun, suspek berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan tidak jauh dari pangsapuri berkenaan antara pukul 7.30 hingga 8 malam.
Shazeli berkata, lelaki terbabit sekali lagi bertindak menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang ketika pihak berkuasa cuba menahannya.
"Dalam usaha mempertahankan diri dan membuat tahanan, pihak polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek.
"Namun tembakan tersebut hanya mencederakan suspek dan suspek dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.
Suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Sementara itu, anggota polis yang cedera pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan
Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil, manakala beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut mengalami kecederaan ringan dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, pihak polis memaklumkan identiti serta butiran lanjut suspek masih dalam proses pengesahan.
Setakat ini, polis percaya hanya seorang suspek terbabit dalam kejadian berkenaan. Siasatan lanjut termasuk pemeriksaan di lokasi kejadian dan proses bedah siasat terhadap suspek turut dijalankan.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via