5 Sebab 'Muzikal OlaBola' Arahan Tiara Jacquelina Bakal Jadi Teater Terhebat Di Malaysia
Pentas Istana Budaya bakal bergegar bermula 8 Februari 2018.
Isnin lalu, Enfiniti mengumumkan barisan penuh pelakon 'Muzikal OlaBola' yang akan berlangsung pada Februari 2018 di Istana Budaya
Luqman Hafidz, Lim Jian Wen, Brian Chan, Abimanyu Masilamani, Kai Chalmers, dan penyanyi rap Altimet telah dipilih sebagai barisan utama muzikal ini.
Turut menyertai barisan bintang-bintang ini adalah Iedil Putra sebagai Rahman dan Melissa Ong sebagai Chow Mei Ling.
Sebagai sebuah teater muzikal yang ditunggu-tunggu ramai, kami beri 5 sebab kenapa Muzikal OlaBola adalah wajib tonton:
1. Sebut saja produksi Enfiniti dari Tiara Jacquelina, tiada siapa boleh sangkal dengan kualiti teater yang pernah dihasilkan mereka
Nama Tiara Jacquelina tidak perlukan pengenalan lagi dalam bidang teater tempatan. Presiden Enfiniti dan Pengarah Muzikal OlaBola ini telah menghasilkan teater muzikal bertaraf antarabangsa yang habis dijual sebelum ini seperti Puteri Gunung Ledang, P. Ramlee The Musical, dan The Secret Life of Nora.
Produksi Tiara Jacquelina cukup terkenal kerana telah menetapkan tanda aras tertinggi dan meningkatkan tahap industri teater tempatan sehingga setaraf dengan produksi antarabangsa yang lain.
2. Disunting berdasarkan filem popular OlaBola yang meraih pelbagai anugerah dalam industri perfileman
Filem OlaBola yang mula ditayangkan pada Februari 2016 menjadi satu fenomena di Malaysia apabila berjaya meraih sokongan yang luar biasa dari seluruh rakyat jelata.
Filem yang menampilkan rencah masayarakat majmuk dari pelbagai bangsa dan budaya ini sememangnya digemari ramai, sehingga berjaya mendapat kutipan pecah panggung melebihi RM16 juta!
Pastinya, OlaBola akan menjadi lebih hebat apabila diterjemah kepada teater muzikal melalui sentuhan Enfiniti.
3. Menampilkan barisan bakat terbaik di Malaysia yang diimpi-impikan
Bercakap kepada media, Tiara Jacquelina berkata OlaBola The Musical mempunyai barisan bakat terbaik dari pelbagai bidang seni persembahan yang kini bekerjasama untuk menghidupkan semangat dan mesej OlaBola.
“Dengan barisan yang turut menampilkan pelakon pentas mantap seperti sahabat lama kami, Iedil, dua pelakon asal filem OlaBola yakni Luqman dan Jian Wen, bakat baru penuh potensi seperti Brian, Abimanyu dan Kai serta penyanyi dan penulis lirik Altimet dengan penampilan pertamanya dalam pentas muzikal; kami mempunyai bakat terbaik dari pelbagai bidang seni persembahan, kini bekerjasama untuk menghidupkan semangat dan mesej OlaBola.
"Bagi saya, ini sememangnya barisan bakat yang diimpi-impikan. Mereka pasti akan memukau penonton melalui persembahan bertenaga mereka Februari akan datang," katanya penuh teruja.
4. Lebih 300 peserta hadir untuk sesi ujibakat, dengan hanya 40 bakat terbaik dipilih
Tiara berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh bakat-bakat yang hadir sehingga memaksa krew produksi melangsungkan sesi ujibakat sehingga lewat malam.
"Lebih 300 bakat dari luar dan dalam negara telah hadir dan tanpa saya duga, sesi ujibakat kami terpaksa dilanjutkan sehingga lewat tengah malam! 100 orang telah disaring dipanggil semula, di mana mereka perlu diujibakat sekali lagi, dan akhirnya kami memilih 40 bakat yang terbaik," katanya lagi.
5. Teater pertama di Malaysia yang membawa genre muzik rap dan hip-hop yang cukup segar dan berbeza berbanding produksi lain
“Kerana persembahan ini berlatarkan rap dan hip-hop, kami juga mempunyai penari hip-hop hebat, krew tarian Budak Joget, Kalai, Fahi dan Pembantu Jurureka Tari kami Fuzz Wayne. Mewakili komuniti penari breakdance di Malaysia, Khenobu, Juicy dan Wes, yang merupakan juara breakdance antarabangsa daripada Giller Battle Crew (pemenang Showdown The Series 2012).
“Mereka pasti akan mempesonakan penonton Februari nanti,“ tambah Tiara lagi.
Muzikal OlaBola akan menggegarkan pentas Istana Budaya bermula 8 Februari hingga 11 Mac 2018.
Tiket boleh didapatkan sekarang pada harga diskaun!
Penjualan tiket bermula pada Isnin, 16 Oktober 2017. Sebagai promosi “Pembelian Awal”, sejumlah tiket terhad untuk bahagian auditorium terpilih yang asalnya berharga RM250 boleh didapati pada harga diskaun RM150.
Pemegang kad CIMB layak untuk membeli tiket daripada semua kategori pada diskaun 40%. Diskaun ini untuk 3,000 tiket pertama yang dibeli.
Kedua-dua promosi ini akan tamat pada 26 November 2017, sementara tiket masih ada.
Untuk maklumat lanjut dan maklumat penuh tiket, layari laman web www.olabolamusical.com. Untuk berita terbaru, follow Enfiniti di Facebook dan Instagram.