[GAMBAR] Makan Bersila & Bersimpuh, Majlis Kahwin Ini Kembalikan Nostalgia Zaman 50-an
Betul-betul kenangan mengusik jiwa. Style wei.
Kreativiti yang diketengahkan oleh penduduk di Kampung Stor, Padang Rengas di Perak ini untuk mengembalikan nostalgia ‘Pak Maun’ seperti yang kita tonton dalam filem P.Ramlee memang sangat mengujakan!
Dikatakan idea bapa kepada Rayza Ridzuan iaitu Rosdi Osman untuk menampilkan tema 50-an itu adalah untuk merapatkan hubungan di antara masyarakat setempat serta ahli keluarga.
Pada masa yang sama, beliau ingin menunaikan hasrat dan keinginan ayah untuk menjaga tradisi dan membawanya kepada generasi baru.
Majlis itu berlangsung di Kampung Stor yang berada di Padang Rengas, Perak khususnya di rumah kakak kepada ayah beliau iaitu Rohani Osman yang menjadi tempat di mana keluarga bapanya dibesarkan.
Majlis yang berlangsung pada 31 Disember 2017 ini turut mendendangkan lagu-lagu zaman 50-an yang bagi menghidupkan kembali nostalgia Pak Maun.
Menurut Ridzuan, majlis perkahwinannya telah pun diadakan di Kuala Lumpur. Namun, bapanya tetap mahu mengadakan majlis yang berasingan di kampung bagi mewujudkan keistimewaan kepada dia dan juga adiknya.
Majlis tersebut diadakan untuk meraikan dua pasangan pengantin iaitu Rayza Ridzuan Rosdi & Nur Amalina Ariffin serta Rayza Diana Rosi & Isa Hanis Isa Ansori.
Ridzuan juga menjelaskan bahawa terdapat Lepor (ruang khas yang ditinggikan diperbuat dari buluh untuk kerja kenduri), Balai (tempat makan bersila), serta Tempat Bersanding
Majlis ini dibantu oleh penduduk kampung untuk membina pagar, pelamin dan segala props yang diperlukan.
Mereka sekeluarga telah menggunakan buluh, rotan dan pokok pinang untuk membina, menghias sekitar rumah mereka dan serta merta menaikkan mood 50's!
Lebih unik, tetamu yang datang diwajibkan untuk makan secara bersila atau bersimpuh di balai yang telah dibina. Tiada sebarang kerusi atau meja disediakan untuk mereka.
Tetamu menjamu selera di balai dalam keadaan bersila dan bersimpuh.
Konsep pakaian bagi lelaki hanya memakai songkok tinggi dan kemeja bertemakan 50-an, manakala wanita pula berbaju kurung Kedah dan berkain batik. Busana pengantin pula tampak begitu gah dan lain daripada yang lain!
Ayahnya merancang seminggu lebih awal dengan perancangan yang sangat teliti, daripada muzik, pakaian, sehinggalah kepada makanan dan pelbagai lagi faktor penting bagi benar-benar mewujudkan suasana zaman 50-an
Kreativiti yang diketengahkan begitu mengujakan kerana lain dari kebiasaan. A+ for the efforts! Tahniah dan selamat pengantin baru kepada kedua-dua mempelai.