'Malam Mendengar' Nadin Amizah Bakal Temui Peminat Malaysia Di Zepp KL Pada 16 Mei Ini
Tiket bagi persembahan 'Malam Mendengar' Nadin Amizah telah mula dijual pada 12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan 'Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur' pada 16 Mei 2025, jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, susulan permintaan tinggi daripada peminat di Malaysia
Selepas kejayaan acara 'Malam Mendengar' di Jakarta tahun lalu, Nadin kini membawa konsep istimewa ini ke Malaysia, menjadikannya sebuah acara yang wajib dihadiri oleh pencinta muziknya.
Menurut Nadin, 'Malam Mendengar' bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi pengalaman yang mendalam, di mana muzik dan liriknya akan lebih dekat dengan jiwa peminat.
"Saya berasa sangat gembira dan terharu, tetapi pada masa yang sama, turut gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia. Persembahan ini amat istimewa kerana ia memberikan satu dimensi baru kepada lagu-lagu saya," katanya.
Apa yang menjadikan persembahan ini lebih unik adalah susunan muzik yang lebih segar dan berbeza daripada penampilan terdahulunya di Malaysia. Buat pertama kali, Nadin akan mempersembahkan gubahan muzik berirama orkestra, memberikan nuansa baru kepada lagu-lagu yang sudah begitu dekat di hati peminatnya.
"Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan masa untuk menyaksikan 'Malam Mendengar' dan bersama-sama menikmati perkembangan saya sebagai seorang pemuzik sejak pertama kali datang ke sini," tambahnya lagi.
Pengalaman muzik yang penuh emosi
Penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina, menyifatkan 'Malam Mendengar' sebagai lebih daripada sekadar persembahan biasa—ia merupakan pengalaman emosi yang akan menghubungkan Nadin dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif.
"Kami sangat teruja membawa ‘Malam Mendengar’ ke Kuala Lumpur selepas kejayaannya di Jakarta. Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang ini, dan kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberikan pengalaman luar biasa buat mereka," katanya.
Untuk rekod, Nadin Amizah bukanlah nama asing di Malaysia. Dengan lagu-lagu yang penuh emosi dan lirik puitis, dia terus menjadi kegemaran peminat muzik indie dan alternatif.
Persembahan kali ini bukan sahaja membawa perjalanan nostalgia, malah memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati keunikan karyanya dalam susunan yang lebih matang dan menyentuh perasaan.
Tiket bagi 'Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur' telah mula dijual pada 12 Februari 2025 dan boleh didapati di www.golive-asia.com.
Berikut adalah kategori tiket yang ditawarkan:
Tawa – RM658
Sorak Sorai – RM258
Sorai – RM238
Kekal – RM248
Bunga Tidur – RM178
Tambahan Meet & Greet – RM298
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita ‘mesti kongsi’ sekarang!