Malaysia Raih Emas Sepak Takraw Di Sukan Asia 2026, Tamatkan Penantian 36 Tahun
Tahniah skuad sepak takraw! Malaysia boleh!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Skuad sepak takraw lelaki negara menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand 2-0 pada final Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi

Menurut laporan Berita Harian, kemenangan di Nagoya City Mizuho Arena itu menyaksikan Malaysia mengulangi kejayaan pada Sukan Asia Beijing 1990, iaitu kali terakhir skuad negara meraih emas acara berkenaan selepas menewaskan Thailand di pentas final.
Malaysia membuka aksi dengan langkah kanan menerusi trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias.
Gandingan negara itu berdepan Marukin Phanmakon, Putawan Sopa dan Pornthep Tingbangbon sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 15-9, 5-15, 15-11 untuk menghadiahkan mata pertama buat Malaysia.
Regu kedua negara yang dibarisi Muhammad Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifudin Razali kemudian memastikan kemenangan selepas menewaskan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinu Kamsanor

Malaysia menang 15-13, 15-10 dalam aksi straight set sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik negara
Kejayaan itu turut menyaksikan Malaysia menewaskan Thailand dalam final regu berpasukan buat kali kedua berturut-turut selepas pencapaian sama pada Sukan SEA Thailand 2025, Disember lalu.
Pingat emas sepak takraw berkenaan menjadi emas keempat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via