Malaysia Techlympics 2026 Catat Rekod 3.19 Juta Penyertaan, Pencabar Luar Negara Berentap Di Final
Orang ramai terutamanya ibu bapa dialu-alukan membawa anak-anak ke MAEPS pada 15 dan 16 November ini dengan kemasukan percuma.
Cover image via Malaysia TechlympicsFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Inisiatif pembudayaan sains dan teknologi utama negara, Malaysia Techlympics 2026, melakar pencapaian luar biasa apabila berjaya merekodkan sebanyak 3.19 juta penyertaan di seluruh negara
Jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 1.8 juta penyertaan sebelum melabuhkan tirainya pada pentas akhir di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 15 dan 16 November ini.
Memasuki tahun kelima penganjurannya, program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu turut mencuri tumpuan apabila menghimpunkan peserta antarabangsa antaranya dari China, Kemboja dan Vietnam yang bakal berentap menguji kebolehan bersama bakat tempatan menerusi segmen World Techlympics.
Edisi tahun ini secara keseluruhannya menawarkan 90 pertandingan merangkumi 182 modul pelbagai disiplin daripada bidang robotik, sains forensik, hingga kecerdasan buatan (AI), yang menyaksikan peserta bersaing di peringkat zon sebelum mara ke Peringkat Akhir Kebangsaan.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Nani Rahayu Sudin memaklumkan bahawa para finalis bakal menguji kepakaran masing-masing dalam 54 pertandingan dan kategori di peringkat akhir.
Antara cabaran utama yang diketengahkan termasuk Robot Tempur, Inovasi AI Malaysia, reka bentuk tiga dimensi (3D), siasatan jenayah, serta pengendalian dron yang menuntut gabungan pengetahuan, kreativiti, dan kerjasama berpasukan.
Orang ramai terutamanya ibu bapa dialu-alukan membawa anak-anak ke MAEPS pada 15 dan 16 November ini dengan kemasukan percuma
Saingan hari pertama dijadualkan memberi tumpuan kepada penyertaan murid sekolah rendah dan belia, manakala hari kedua pula menampilkan saingan sengit pelajar sekolah menengah. Turut diberi ruang ialah murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menerusi Cabaran Mencipta Robot dan InnovaTech, selain tiga pertandingan dalam talian iaitu FC-1 Simulation, Drone Simulation, dan CSI Arena yang berlangsung serentak buat julung kalinya.
Lebih menarik, penganjuran tahun ini menyaksikan penggabungan bersejarah antara Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Minggu Sains Negara (MSN) dalam Program Pembudayaan STI Bersepadu MOSTI menerusi Ekspo Sains, Teknologi dan Inovasi (E-STI 2026).

Ekspo berkenaan turut diserikan dengan enam program satelit utama iaitu Rehlah Sains, Anugerah Saintis Muda Negara, Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF), BioInnovation Launchpad, MBOT TUNE Summit 2026, dan Program Advokasi Nuklear.
Orang ramai terutamanya ibu bapa dialu-alukan membawa anak-anak ke MAEPS pada 15 dan 16 November ini dengan kemasukan percuma. Selain menyaksikan aksi pentas akhir dan mencuba cabaran secara walk-in seperti AI Vibe Coding Drone dan TechTriathlon, pengunjung boleh meneroka aktiviti interaktif seperti mini planetarium, Science on Wheel oleh Pusat Sains Negara dan Makmal Bergerak Kimia Malaysia. Jadual penuh acara boleh disemak menerusi laman web rasmi www.techlympics.my.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


