Malaysia Techlympics Zon Sabah Perkasa Bakat Muda STI, Himpun Lebih 1,000 Peserta Di UMS
Malaysia Techlympics kekal sebagai inisiatif teras MOSTI bagi membudayakan STI menerusi pendekatan pembelajaran praktikal (hands-on) dan berasaskan pengalaman (experiential learning).
Cover image via @malaysiatechlympics2026 (Instagram)Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Bakat muda dalam bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) yang dicungkil menerusi Malaysia Techlympics perlu dibimbing secara berterusan agar potensi mereka tidak terhenti setakat pertandingan, sebaliknya mampu berkembang menjadi pencipta teknologi dan aset penting negara
Usaha itu diteruskan menerusi Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menghimpunkan 1,043 peserta daripada 65 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Sabah dan Labuan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, MOSTI bersama agensi berkaitan akan terus menyediakan bimbingan dan panduan susulan kepada peserta yang dikenal pasti mempunyai potensi untuk dikembangkan.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan idea dan bakat yang diketengahkan tidak terhenti selepas mereka menamatkan persekolahan atau pengajian, sebaliknya dapat dikembangkan menjadi projek atau produk yang memenuhi keperluan sebenar industri, negara dan masyarakat.

Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Program Malaysia Techlympic Peringkat Zon Sabah 2026, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.
Image via @malaysiatechlympics2026 (Instagram)"Di mana sahaja anak muda kita berada, mereka wajib diberikan peluang yang saksama untuk mengenali teknologi, mengembangkan idea kreatif dan membuktikan kemampuan sebenar mereka," katanya ketika merasmikan Malaysia Techlympics 2026 Peringkat Zon Sabah di UMS, baru-baru ini.
Beliau berkata, Malaysia Techlympics yang memasuki tahun kelima sejak dilancarkan pada 2022 kekal sebagai antara inisiatif utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membudayakan STI khususnya dalam kalangan pelajar dan golongan belia.
Katanya, matlamat program itu bukan sekadar melahirkan generasi yang menjadi pengguna teknologi, sebaliknya membina bakat STI masa hadapan yang mampu mencipta, mengadaptasi dan menerajui teknologi demi kepentingan negara.

Malaysia Techlympics menggunakan pendekatan pembelajaran secara praktikal atau hands-on serta pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) menerusi pertandingan yang menghimpunkan peserta berusia tujuh hingga 30 tahun.
Antara bidang yang diberi penekanan termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi, dron, pengekodan dan teknologi digital, sejajar usaha menyediakan generasi muda dengan kemahiran relevan bagi memenuhi keperluan ekosistem STI dan tenaga kerja masa hadapan.
Peserta Malaysia Techlympics Zon Sabah turut memburu peluang untuk meneruskan saingan ke Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 di MAEPS, Serdang pada November depan, sekali gus membawa idea dan inovasi mereka ke peringkat lebih tinggi.
Bagi memastikan peluang meneroka STI tidak hanya tertumpu kepada pelajar di kawasan tertentu, Malaysia Techlympics turut melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) yang memberi tumpuan kepada komuniti luar bandar dan pedalaman.

Di Sabah, program jangkauan itu dilaksanakan antaranya di Pulau Banggi, Kudat dan Lahad Datu sebelum diteruskan ke Tawau, dengan peserta diberi pendedahan kepada teknologi masa hadapan termasuk AI, Internet Kebendaan (IoT), robotik, dron dan pengekodan.
Sehingga kini, kira-kira 4,725 pelajar dan 336 guru dari Sabah dan Labuan telah terlibat secara langsung menerusi pelbagai bentuk latihan, sekali gus memperluaskan akses pembelajaran STEM kepada pelajar, guru serta komuniti setempat.
Pelaksanaan Malaysia Techlympics 2026 bermula sejak Jun lalu secara hibrid menerusi aktiviti fizikal dan dalam talian di pelbagai lokasi seluruh negara.
Dalam pada itu, penganjuran di UMS pada 21 dan 22 September 2026 turut mencatat sejarah apabila MOSTI buat pertama kali menganjurkan Program Pembudayaan STI Bersepadu yang menghimpunkan Minggu Sains Negara, Malaysia Techlympics, NextGen Tech@MOSTI 2026 dan STI 100³ dalam satu platform bagi memperluaskan pembudayaan STI khususnya dalam kalangan generasi muda.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


