Masa Skrin Boleh Akibatkan Autisme? Pakar Psikologi Bongkar 5 Mitos Tentang ASD!
Jom ketahui perkara yang benar dan salah tentang Gangguan Spektrum Autisme (ASD).
Bilangan orang yang didiagnosis dengan Autism Spectrum Disorder (ASD) di Malaysia telah meningkat secara berterusan sepanjang dekad yang lalu
Menurut Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia, Autisme adalah salah satu kecacatan perkembangan yang paling banyak didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak, dengan anggaran sebanyak 1 dalam 68 bayi baru lahir.
Namun, ia masih kekal sebagai salah satu gangguan yang paling mengelirukan ramai kerana spektrum setiap penghidap memaparkan tanda dan gelaja berbeza.
Sempena Bulan Kesedaran Autisme, kami bercakap dengan Tan Cheng Yi, penasihat di Autism Initiatives Malaysia (AIM) dan ahli psikologi pendidikan bertauliah yang pakar dalam pembelajaran kesihatan mental & tingkah laku kanak-kanak serta remaja untuk mengetahui tentang gangguan Autisme itu dengan lebih lanjut.
Mitos 1: Autisme disebabkan oleh vaksin
Menurut Tan, mitos tersebut merupakan mitos terbesar yang dipercayai orang ramai.
"Vaksinasi tidak menyebabkan autisme. Doktor yang menerbitkan penyelidikan itu telah dibuang daripada daftar perubatan kerana memalsukan fakta tentang mitos itu," katanya.
Dia menambah bahawa walaupun mitos itu telah disangkal dengan baik, khabar angin yang telah menyebabkan ketakutan orang ramai untuk menerima vaksin. Lebih mengelirukan lagi adalah Autisme sering didiagnosis pada usia yang kanak-kanak menerima vaksin mereka. Sebab itulah, ada yang percaya mitos tersebut.
Bagaimanapun, dia ingin mengingatkan semula kepada semua orang bahawa walaupun ia berlaku pada masa yang sama, ia tidak bermakna vaksin menjadi asbab Autisme.
Mitos 2: Menonton TV terlalu kerap menyebabkan autisme
"Menonton TV, YouTube atau mana-mana skrin terlalu kerap tidak menyebabkan autisme," kata Tan.
Autisme adalah gangguan perkembangan saraf dengan penyumbang berbilang dan kompleks. Oleh sebab itu, puncanya tidak dapat dikenal pasti. Walau bagaimanapun, kanak-kanak autisme mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk ketagih pada skrin.
“Ini kerana rancangan TV boleh menenangkan dan menghiburkan kanak-kanak autisme. Mereka juga boleh menjangkakan beberapa siri peristiwa akan berlaku, lebih-lebih lagi jika mereka telah menonton rancangan berulang kali."
"Mereka tahu apa yang diharapkan berbanding dengan kehidupan realiti kerana mereka tidak dapat meramalkan tingkah laku orang lain." jelas Tan.
Namun, dia mengingatkan bahawa menonton TV terlalu kerap boleh memburukkan lagi sifat autistik kanak-kanak kerana mereka sudah terbiasa sehinggakan mereka rasa selesa dan memilih untuk tidak berinteraksi dengan orang sekeliling.
Mitos 3: Autisme boleh disembuhkan
"Autisme adalah sepanjang hayat. Kanak-kanak autisme tidak boleh sembuh, tetapi mereka boleh mengatasi banyak gejala dengan sokongan dan intervensi yang betul," jawab Tan.
ASD adalah gangguan perkembangan, ini bermakna apabila kanak-kanak membesar, mereka akan mempamerkan sifat dan kebolehan yang berbeza melalui cabaran yang berbeza. Mereka juga memerlukan jenis sokongan yang berlainan pada setiap peringkat kehidupan.
Sebagai contoh, pada usia dua tahun, kanak-kanak mungkin mengalami kesukaran dalam kemahiran pertuturan dan bahasa. Kemudian pada usia lima atau enam tahun, apabila mereka pergi ke sekolah, mereka mungkin bergelut dengan menulis, celik huruf dan matematik.
"Positifnya, sesetengah kanak-kanak menjadi lebih baik dalam mengawal tingkah laku dan sensitiviti deria mereka dengan bantuan yang betul. Mereka juga dapat menyesuaikan diri dengan dunia luar. Jadi apabila meningkat dewasa, mereka mungkin kurang terjejas dengan gejala Autisme", katanya.
Mitos 4: Individu autistik adalah genius
"Saya telah menemui beberapa individu autistik yang benar-benar pintar dan membuatkan saya terpesona dengan kekuatan otak, kecerdasan dan keupayaan mereka untuk melakukan perkara yang saya tak jangka seperti seni, muzik, matematik, sains, bahasa dan sukan," kata Tan.
Beliau berkata sesetengah orang autistik mungkin mempunyai sifat bijak. Perkara ini merupakan situasi yang jarang berlaku apabila seseorang yang kurang upaya mentalnya menunjukkan kebolehan tertentu yang jauh lebih baik daripada biasa.
"Tetapi hakikatnya, spektrum autisme sangat luas dan boleh berubah daripada kurang upaya intelektual yang teruk kepada mereka yang berbakat. Kebanyakan orang akan berada di tengah-tengah spektrum, jadi kita tidak boleh mengatakan semua individu autistik adalah genius," jelasnya.
Mitos 5: Orang autistik ialah seorang antisosial
"Orang yang mempunyai ASD mungkin mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, tetapi itu tidak bermakna mereka antisosial," kata Tan.
"Autisme berlaku atas spektrum keupayaan, jadi ada orang yang pandai bergaul dan ada juga yang lebih suka bersendirian. Malah, ada juga yang mungkin mengalami masalah komunikasi yang teruk sehingga menyukarkan mereka untuk bergaul."
Ibu ayah perlu bersabar dengan mereka, beri masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan situasi sosial.
"Interaksi sosial merupakan proses dua hala. Kedua-dua pihak perlu menyesuaikan diri untuk membolehkan yang lain berhubung. Orang yang mempunyai autisme akan menjadi cemas dan suka mengelakkan diri daripada bersosial. Sabar dan terimalah mereka tetapi jangan paksa mereka bercakap apabila mereka tidak bersedia," jelas Tan lagi.