"Pabila Pontianak Bertemu Werewolf" - Maya Karin Akan Muncul Dalam Filem Hollywood 'Alone'
Selain Tyler Posey, filem Alone turut menampilkan Donald Sutherland sebagai teraju utama.
Pelakon terkenal, Maya Karin, meluahkan rasa terujanya bakal muncul dalam sebuah filem Hollywood berjudul ‘Alone’ di bawah arahan Johnny Martin
Maya memberitahu, bekerja dengan pasukan profesional diketuai Johnny Martin selaku pengarah dan penerbit bersama merupakan landasan awal untuknya melebarkan langkah di pentas antarabangsa.
Menariknya, beliau dipilih sendiri oleh eksekutif Hollywood Innovation Group (HIG) tanpa perlu menghadiri sesi temuduga mahupun uji bakat.
“Apabila eksekutif HIG menyuarakan hasrat meminta saya menyertai pasukan produksi mereka di sini, saya rasa bertuah kerana dipilih tanpa perlu menjalani uji bakat," katanya kepada Berita Harian.
Dalam filem tersebut, Maya akan memegang watak seorang saintis dari Malaysia bernama Dr. Zulaikha
Biarpun hanya satu babak penting, Maya Karin tetap berasa teruja berpeluang menimba pengalaman membintangi filem Alone yang membariskan pelakon ternama seperti Donald Sutherland, yang berlakon dalam siri filem Hunger Games, serta Tyler Posey yang terkenal dengan wataknya sebagai serigala jadian dalam siri drama Teen Wolf.
“Walaupun sebabak, berada dalam suasana baharu, dikelilingi kru profesional dan dapat bertukar idea dengan ramai karyawan di sini termasuk pengarah Alone, menyemarakkan semangat.
“Kepercayaan mereka dianggap permulaan baik untuk saya terus mencari ruang di Hollywood. Apatah lagi, sepanjang minggu ini saya turut dipertemukan dengan beberapa produser dan pengarah lain.
“Sebelum ini, saya tak terfikir boleh sampai (berlakon) di Hollywood. Malah, tidak pernah terdetik mencuba nasib atau menghadiri uji bakat... Mungkin sekarang tepat pada waktunya,” tambahnya.
Menurut pengarah filem terbabit, Johnny Martin, beliau melihat potensi Maya untuk berjaya melakar nama di sana berdasarkan kesungguhannya walaupun menerima skrip hanya dua hari sebelum penggambaran bermula
“Saya mengenali Maya ketika pelancaran hotel milik Paramount di Bali, Indonesia, dua tahun lalu. Ketika itu, saya dan HIG nampak potensinya. Apabila dia dapat 'terbang' ke AS dan bersama kami, itu bermakna hajat kami sudah direalisasikan.
“Maya beri komitmen penuh biarpun masih keletihan dan ‘jetlag’. Babak membabitkan Maya hanya satu, tetapi skrip panjang hingga lima muka surat,” ujar pengarah itu.