Mayat Lelaki Ditemui Tergantung Di Pokok Didapati Positif Covid-19 - Polis
Mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu masih belum dituntut oleh sesiapa.
Polis hari ini memaklumkan bahawa mayat lelaki dipercayai warga asing yang ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah pada 6 April lalu didapati positif COVID-19
Memetik laporan portal Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, susulan itu kesemua 12 anggota polis yang bertugas mengendalikan mayat berkenaan telah diarahkan untuk menjalani saringan kesihatan.
Katanya, kesemua anggota tersebut juga sudah diarahkan untuk kuarantin diri di rumah masing-masing.
“Semua anggota yang terdedah sudah menjalani saringan kesihatan dan mereka juga diarah mengasingkan diri di rumah masing-masing sementara menunggu laporan kesihatan daripada hospital.
“Keputusan ujian itu dijangka akan siap hari ini, kita mendoakan semua anggota terbabit selamat daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya.
Habibi dalam pada itu memaklumkan bahawa mayat tersebut masih belum dituntut oleh mana-mana individu sehingga ke hari ini
“Mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu masih belum dituntut oleh sesiapa dan setakat ini, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Balai Polis Pulau Gaya Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zulfikar Abd Salam di talian 0198009455,” katanya.