Media Sosial Kini Hanya Untuk Pengguna 16 Tahun Ke Atas, Ini Yang Anda Perlu Tahu
Pelaksanaan itu berkuat kuasa mulai hari ini, 1 Jun 2026.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini mengumumkan pelaksanaan pengesahan umur wajib untuk pengguna media sosial sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian
Melalui penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), platform media sosial berlesen kini perlu memastikan hanya individu berumur 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan menggunakan perkhidmatan mereka.
Platform yang terlibat termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Menurut MCMC, pengesahan umur perlu dibuat menggunakan rekod yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf.
Bagi pengguna baharu, syarat ini berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.
Untuk pengguna sedia ada pula, proses pengesahan akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.
Sekiranya seseorang pengguna dikenal pasti berumur bawah 16 tahun, mereka akan diberikan masa selama satu bulan untuk menyimpan atau memindahkan kandungan seperti gambar dan video sebelum akaun mereka disekat atau digantung.
Platform wajib tingkatkan perlindungan

Selain pengesahan umur, platform media sosial juga diwajibkan melaksanakan langkah perlindungan yang lebih menyeluruh termasuk sistem keselamatan mengikut umur pengguna, penilaian risiko, penyederhanaan kandungan dan kawalan keselamatan tambahan.
MCMC menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal mematuhi obligasi yang ditetapkan.
Langkah ini dilihat sebagai antara usaha paling besar Malaysia setakat ini dalam mengawal keselamatan kanak-kanak di ruang digital yang semakin mencabar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC), sila rujuk Soalan-soalan Lazim https://mcmc.gov.my/en/onsa/resources/frequently-asked-questions.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

