Melaka Sedia Subsidi Servis Motosikal Khas Untuk Bantu Rider Penghantar Makanan
Difahamkan, inisiatif ini akan diumumkan secara rasmi minggu hadapan.
Cover image via Ab Rauf YusohFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Melaka bakal memperkenal inisiatif khas subsidi penyelenggaraan motosikal bagi membantu meringankan beban kewangan lebih 3,000 penghantar makanan (p-panggilan) di seluruh negeri itu
Menerusi laporan Bernama, Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata peruntukan bagi inisiatif berkenaan akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) minggu ini dan diumumkan secara rasmi minggu hadapan.
"Subsidi tersebut akan melibatkan bengkel penyelenggaraan motosikal terpilih, yang bakal dilantik di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan golongan p-panggilan mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan pada kadar lebih rendah.
"Penghantar makanan yang membuat penyelenggaraan motosikal akan menerima subsidi dianggarkan sekitar 20 hingga 30 peratus daripada kos keseluruhan. Apapun, kebajikan mereka sentiasa dalam perhatian kerajaan negeri dan inisiatif ini selaras dengan konsep Melaka Sayang Rakyat (MesRa)," katanya.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan antara usaha kerajaan negeri menghargai sumbangan golongan p-panggilan yang memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan masyarakat menerusi platform digital.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Image via Ab Rauf YusohSelami sendiri pengalaman sebagai penghantar makanan
Ab Rauf berkata dia sendiri telah berpeluang merasai pengalaman menerima pesanan dan menghantar barangan kepada pelanggan, bagi memahami cabaran serta rutin harian golongan berkenaan dalam mencari rezeki untuk keluarga.
"Kita akan maklumkan kelak untuk pendaftaran bengkel-bengkel yang berkelayakan bersama pihak penyedia perkhidmatan seperti Grab, Foodpanda dan Shopee," katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut meneliti kaedah memperluas pencaruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada golongan p-panggilan, sebagai antara usaha meningkatkan perlindungan kebajikan mereka.
Beliau berkata perkembangan ekonomi digital telah mengubah gaya hidup, kaedah perniagaan dan corak pekerjaan masyarakat, sekali gus menjadikan p-panggilan antara sektor yang semakin penting dalam ekosistem ekonomi digital.
"Memang bagus, dunia digital berubah, masa berubah, gaya hidup berubah, kaedah perniagaan dan ekonomi juga berubah.
"Jadi itu semua saya ambil, saya azamkan dan saya akan teliti beberapa kajian yang saya buat, bagi membantu mereka yang sedang berusaha menyara keluarga daripada kaedah p-hailing," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


