Noraniza Idris Teruskan Amal Budaya Sejak 2010, Festival Akar Kita Zapin 2026 Himpun Generasi Pelapis

Festival musim keenam anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Berbekalkan kecintaan mendalam terhadap seni warisan serta perjuangan amal budaya yang konsisten sejak tahun 2010, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, terus mendekatkan masyarakat dengan seni tarian zapin menerusi penganjuran Festival Akar Kita Zapin 2026 Peringkat Kebangsaan yang melabuhkan tirainya di AEON Mall Alpha Angle, baru-baru ini

Festival musim keenam anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula 30 Oktober hingga 1 November lalu itu berjaya menghimpunkan lebih 1,500 pengunjung merangkumi peserta, komuniti, jemputan khas, serta keluarga. Majlis kemuncak acara disempurnakan oleh Penaung Akar Kita Zapin sejak 2012, YM Tengku Dato' Dr. Hishammuddin Zaizi bin YAM Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Menggalas peranan sebagai pencetus gagasan dan pengarah program, Noraniza menyifatkan program pembelajaran secara percuma ini amat kritikal bagi memastikan generasi muda mengenali pemegang ilmu sebenar, memahami asal usul gerak, serta menghayati adab dan nilai kesantunan yang terkandung dalam seni zapin.

Menerusi pengisian teras Zapin Living Lab yang dibimbing barisan adiguru dan pewaris terkemuka termasuk Prof. Dr. Mohd Anis Md Nor, Majid Rawino, serta Faizule Abdullah atau lebih dikenali sebagai "Ustad Zapin", para peserta didedahkan secara khusus kepada tujuh variasi zapin utama:

  • Zapin Pekajang & Zapin Tenglu
  • Zapin Lenga & Zapin Koris
  • Zapin Melayu Johor, Zapin Seri Bunian & Zapin Parit Mastar

ㅤ

SAYS.com
Image via @akarkitazapin2026 (Instagram)

Siri bengkel yang mencatatkan penyertaan menggalakkan di seluruh negara itu menyaksikan seramai 300 peserta terbaik dari lebih lima negeri dipilih berentap dalam Kejohanan Peningkah Laga Terbaik Juara VS Juara Peringkat Kebangsaan

Pelaksanaan siri jelajah dan acara kemuncak ini mendapat kerjasama strategik AEON Co. (M) Bhd. yang menaja empat lokasi tumpuan iaitu AEON Mall Tebrau City (Johor), AEON Mall AU2 Setiawangsa (Kuala Lumpur), AEON Mall Kinta City (Ipoh) dan AEON Mall Alpha Angle (Kuala Lumpur).

Selari dengan aspirasi mengangkat martabat seni zapin ke pentas pengiktirafan UNESCO, festival ini turut mendapat sokongan penuh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) serta pengiktirafan pensijilan kokurikulum oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Acara turut dimeriahkan dengan segmen Pesona Cilik Perpaduan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPNIN WPKL), selain kehadiran wakil kedutaan dari Ghana, Pakistan dan Iran dengan kerjasama KOPSTAR bagi memperkenalkan keunikan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa. Penganjuran kali ini turut disokong barisan penaja termasuk Aurarich Global feat Nutrika, Kopi King Global, Nurrasa Global Sdn. Bhd. dan EMYALY.

SAYS.com
Image via @akarkitazapin2026 (Instagram)

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik
Read more trending stories on SAYS