Nurhidayah Cipta Sejarah Jadi Wanita Pertama Dilantik Pegawai Pemerintah Unit Berkuda PDRM
Woman power!
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Didikan lasak daripada arwah bapa sejak kecil menjadi antara faktor yang membentuk Superintendan Nurhidayah Damanhoori sehingga berjaya mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Menurut laporan Harian Metro, Nurhidayah berkata, arwah bapanya, Damanhoori Salikin, mendidiknya supaya menjadi seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal menerusi pelbagai aktiviti luar, termasuk berkebun, memelihara haiwan ternakan serta mencari hasil laut.
Menurutnya, pengalaman itu membentuk keberanian dan jati dirinya sebelum memilih kerjaya dalam pasukan beruniform selepas menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau menyertai PDRM pada 2007 dan memulakan tugas sebagai pegawai penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), sebelum pengalaman dalam pelbagai bidang membawanya mendekati dunia ekuestrian pada 2015.
Minat terhadap kuda mendorongnya menyertai Unit Berkuda PDRM, sebelum diberikan kepercayaan menjadi Pegawai Pemerintah unit berkenaan pada 2018.
Lebih membanggakan, Nurhidayah turut memiliki empat kemahiran khusus, iaitu lencana Horseman, Selam PDRM, Payung Terjun PDRM serta lesen menunggang motosikal berkuasa tinggi kelas B penuh
Beliau juga menjadi pegawai pemerintah pertama yang melayakkan diri menyertai acara ketahanan berkuda sejauh 120 kilometer selepas melalui beberapa pertandingan pada jarak 40km, 80km dan 100km.
Mengakui tugas itu bukan mudah, Nurhidayah berkata cabaran terbesar adalah menguasai ilmu pengendalian kuda serta memimpin anggota yang mempunyai pengalaman lebih luas.


Dalam masa sama, beliau turut berdepan pengorbanan sebagai ibu apabila tuntutan tugas menyebabkan masa bersama keluarga terjejas.
Bagaimanapun, sokongan keluarga menjadi kekuatan untuknya terus berkhidmat, selain berpegang pada nasihat ibunya supaya tidak menyalahgunakan pangkat atau menganiaya anggota bawahan.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai wanita muda menyertai PDRM sekiranya bersedia menghadapi cabaran dan pengorbanan dalam kerjaya beruniform.
"Tiada apa yang perlu ditakuti jika jiwa sudah bersedia untuk berkorban demi negara tercinta. Namun, kita harus berpegang pada realiti, semua kerjaya di dunia ini ada cabarannya tersendiri," katanya.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


