Orang Ramai Diseru Tidak Terpedaya Buat Bayaran Untuk Program Ubat Melalui Pos
Program tersebut telah dilaksanakan sejak 2011.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Orang ramai khususnya warga emas diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pihak yang mengenakan bayaran atau menawarkan pendaftaran program Ubat Melalui Pos (UMP) menerusi saluran tidak rasmi
Menerusi laporan Bernama, peringatan itu dikeluarkan susulan pelaksanaan penghantaran ubat secara percuma bermula 1 Oktober ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pendaftaran bagi program itu hanya dibuat melalui fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan tiada bayaran dikenakan bagi pendaftaran program UMP.
"Ubat Melalui Pos ini pendaftarannya (melalui) fasiliti KKM. Bukan melalui mana-mana akaun TikTok atau Facebook. Tidak ada proses pendaftaran selain melalui KKM itu sendiri," katanya.
Fahmi berkata pesakit berdaftar yang menerima ubat itu tidak perlu membayar caj penghantaran kerana kerajaan akan menanggung kos penghantaran menerusi program UMP mulai 1 Oktober depan.

Gambar sekadar hiasan.
Image via AFPPeruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diteliti bagi pelaksanaan inisiatif tersebut
Walau bagaimanapun, jumlah berkenaan akan ditingkatkan susulan keputusan untuk memastikan semua negeri mendapat manfaat.
"Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada memaklumkan berdasarkan perbincangan dengan KKM, ada beberapa negeri yang telah memohon untuk tidak terlibat dalam program ini.
"Tapi atas faktor keprihatinan dan juga semangat Malaysia MADANI, maka kita telah membuat keputusan untuk menyediakan bajet tambahan untuk pastikan semua negeri mendapat manfaat UMP," katanya.
Fahmi berkata kira-kira 87,000 pesakit berdaftar di seluruh negara dianggarkan mendapat manfaat daripada program berkenaan dalam tempoh setahun.

Gambar sekadar hiasan.
Image via Amirudin SahibSebelum ini pesakit perlu menanggung sendiri kos penghantaran ubat, namun kos berkenaan akan ditanggung kerajaan menerusi pembiayaan yang disediakan
UMP dilaksanakan sejak 2011 dan sebelum ini penerima dikenakan kos penghantaran RM5.70 di Semenanjung serta RM12.50 di Sabah dan Sarawak.
Fahmi berkata UMP merupakan satu lagi bentuk kerjasama Kementerian Komunikasi dalam membantu KKM selepas pelaksanaan Program Peningkatan Kesalinghubungan Internet di Fasiliti Kesihatan (PERSADA).
Beliau berkata menerusi PERSADA, peruntukan sehingga RM1 bilion disediakan bagi meningkatkan kesalinghubungan dan akses Internet di semua 150 hospital kerajaan serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via