Padah Palsukan 40 Sijil Cuti Sakit, Dua Lelaki Akhirnya Dipenjara & Denda RM8,000
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan jika mereka gagal membayar denda berkenaan.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik
Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 14 hari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah menghasilkan serta menggunakan 40 sijil cuti sakit (MC) palsu

Menurut laporan Harian Metro, Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ellyna Othman hari ini.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lapan bulan jika mereka gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara tidak jujur menghasilkan dokumen palsu berupa 40 sijil cuti sakit sebuah klinik dengan menggunakan nama dan tandatangan seorang doktor, dengan niat untuk menipu.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Jalan Bypass Gebeng antara 28 Mac hingga 13 Julai lalu
Mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Dalam rayuan, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memaklumkan kedua-dua anak guamnya menyesali perbuatan tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Pihak pendakwaan pula memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap mereka.
Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Ellyna menjatuhkan hukuman penjara 14 hari bermula dari tarikh mereka ditahan serta denda RM8,000 kepada setiap tertuduh. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via