Padah Tunjuk Samseng Sampai Maki Polis Di Pulau Pinang, Lelaki Kena Denda RM100
Tertuduh didakwa telah mengeluarkan kata-kata kesat.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana memaki anggota polis dalam Op Bersepadu sempena Tahun Baru Cina pada Isnin lalu
Menerusi laporan, pelaku, Chian Tee Seong, 50 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Koperal Ahmad Azraiz Bokhori, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk menganggu keamanan.
Perbuatan berkenaan didakwa telah dilakukan di lorong motosikal menghala Jambatan Pulau Pinang dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada 10 malam,10 Februari lalu.
Mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberikan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine kepada dirinya
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil Tahun 1955 yang membawa kepada denda maksimum RM100 jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurshakila Dahari memohon agar hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran.
Namun, Tee Seong yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), V. Pushpa memohon denda minima atas alasan anak guam menyesal akan perbuatannya.
Pushpa memaklumkan anak guamnya yang juga pekerja pengurusan pengebumian perlu menyara isteri dan ibunya yang uzur dengan pendapatan bulanan RM2,000.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap tertuduh dan tujuh hari penjara jika gagal membayar denda terbabit.
Dalam pada itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberikan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine kepada dirinya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 28 Ogos 2023 dan 10 Februari lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 April sebagai sebutan semula kes bagi laporan patologi serta lantikan peguam.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!