Pantun Peribahasa DRB-HICOM & Harian Metro Edisi Ke-2 Diperluas, Tawar Hadiah RM45,850
Pendaftaran kini dibuka dan tarikh tutup pada 31 Ogos 2026.
Cover image via Harian MetroFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kejayaan penganjuran edisi pertama tahun lalu menjadi pemangkin kepada penganjuran edisi kedua Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM Bersama Harian Metro yang kini diperluaskan ke Zon Selatan membabitkan sekolah menengah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor
Dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai RM45,850, pertandingan ini dilancarkan secara rasmi di Balai Berita, Bangsar, sebagai simbolik pengukuhan jalinan kerjasama strategik kedua-dua pihak dalam memperkasa warisan bahasa dan budaya Melayu.
Inisiatif ini turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pakar rujukan bahasa dan panel hakim rasmi, selain sokongan penuh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) di Zon Selatan.

Wadah mengasah jati diri & pemikiran kritis pelajar
Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Berhad, Cairil Irwan Amir berkata, pertandingan ini diteruskan selepas melihat sambutan amat menggalakkan di Selangor tahun lalu.
"Selain mengangkat warisan budaya, pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar sekolah menjadi lebih kreatif, berani tampil di pentas serta mencuba perkara baharu. Platform ini bukan sekadar pertandingan, malah medan menggilap bakat baharu seni berbalas pantun untuk membentuk jati diri, melatih pemikiran kritis, serta membina keyakinan diri pelajar. Menerusi tema peribahasa, kita menyemarakkan lagi apresiasi terhadap nilai murni, pengajaran, dan falsafah peribahasa dalam kalangan warga sekolah," katanya.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit menegaskan peranan media sebagai jambatan warisan.
"Menerusi perluasan ke Zon Selatan tahun ini, Harian Metro komited untuk terus memperkasakan peranan sebagai rakan strategik media. Kerjasama ini juga tidak terhad kepada pertandingan pantun semata-mata, malah merangkumi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan projek lain yang memberi manfaat kepada masyarakat," jelasnya.
Majlis pelancaran berkenaan turut dihadiri Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima Berhad dan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Farrah Naz Abd Karim; Pengurus Besar Komunikasi Strategik Kumpulan DRB-HICOM, Nur Balkish Hood; serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Abang Haliman Abang Julai.

Ganjaran RM45,850 dan set studio untuk sekolah
Pertandingan kali ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM45,850. Lebih menarik, sekolah yang berjaya melangkah ke Peringkat Akhir bukan sahaja membawa pulang ganjaran wang tunai, malah bakal menerima Set Studio bernilai RM5,000 sebagai pelaburan impak tinggi bagi kemudahan sekolah.
- Sektor Penyertaan: Sekolah Menengah Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor).
- Tarikh Pendaftaran: 10 Ogos hingga 31 Ogos 2026.
- Cara Pendaftaran: Imbas kod QR pada poster penganjuran atau layari laman digital rasmi Harian Metro untuk maklumat lanjut.
Para guru dan pembimbing diseru untuk merebut peluang ini dengan mendaftarkan pasukan wira pantun sekolah masing-masing sebelum tarikh tutup pada 31 Ogos 2026.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


