PAPUH Muslim Travel Fair 2026 Di Kompleks PKNS Shah Alam 31 Julai – 2 Ogos Ini

PAPUH Muslim Travel Fair 2026 bakal menghimpunkan 56 syarikat berlesen yang menawarkan pakej ibadah umrah.

Enlarge text
Cover ImageCover image via PAPUH Muslim Travel Fair

Follow kami di WhatsApp ChannelsTelegramInstagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.

Orang ramai yang ingin menunaikan ibadah umrah tidak perlu lagi bimbang dengan lambakan tawaran harga yang mengelirukan apabila Karnival Pelancongan Islam, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 menjanjikan pelbagai promosi dan pakej istimewa daripada agensi berlesen tanpa menawarkan diskaun melampau yang boleh mengundang risiko penipuan

Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dr. Fathir Alhadad Badri berkata, konsep karnival itu berbeza daripada pameran pelancongan lain kerana setiap syarikat yang mengambil bahagian perlu memenuhi syarat ditetapkan persatuan, sekali gus memberi keyakinan kepada bakal jemaah.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 56 syarikat mengesahkan penyertaan dengan 52 daripadanya menawarkan pakej umrah, manakala selebihnya terdiri daripada institusi kewangan, syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan pelancongan.

Menurutnya, sebanyak 76 gerai telah ditempah daripada sasaran awal 100 gerai dan pihak penganjur masih bersedia menambah ruang pameran sehingga 120 gerai sekiranya permintaan terus meningkat.

"Kita tidak menjanjikan potongan harga yang tinggi seperti yang sering dipromosikan di tempat lain. Sebaliknya, kita menawarkan pakej yang realistik, telus dan boleh dilaksanakan oleh agensi berlesen," katanya pada sidang media sempena Karnival Pelancongan Islam PAPUH – Muslim Travel Fair 2026 baru-baru ini.

SAYS.com

Ahli tertinggi PAPUH bersama penaja dan rakan strategik Karnival Pelancongan Islam.

Image via PAPUH Muslim Travel Fair

Turut hadir Presiden PAPUH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026, Datuk Seri Razali Mohd Sham, Muhammad Mursyid Abu Hassan (Exco & Naib Presiden Muasassah Umrah & Haji, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026), Ishak Othman (Ketua Pembangunan Perniagaan Islam dan Perniagaan Syariah Kumpulan RHB), Huzaimi Ali (Pengurus Bank Rakyat Cawangan Shah Alam) dan Mohamad Fauzi Ab Hamid (Eksekutif Pemasaran, IKIM) para penaja dan barisan pempamer yang terdiri daripada syarikat agensi pelancongan.

Dr. Fathir menjelaskan bahawa PAPUH mahu memastikan setiap promosi yang ditawarkan sepanjang tiga hari karnival itu tidak mengelirukan pengguna atau menjanjikan sesuatu yang mustahil dipenuhi.

Peringatan mesra elak pakej umrah yang terlalu murah

Sementara itu, Exco & Naib Presiden Muasassah Umrah & Haji, merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Karnival Pelancongan Islamik PAPUH 2026, Haji Muhammad Mursyid Abu Hassan berkata, pengguna perlu berwaspada sekiranya terdapat pihak menawarkan pakej umrah pada harga terlalu murah kerana kos sebenar perjalanan ketika musim puncak tidak memungkinkan tawaran sedemikian.

"Hari ini harga tiket penerbangan sahaja sudah berada sekitar RM3,600 hingga RM4,000. Jadi kalau ada yang menawarkan pakej umrah lengkap pada harga RM3,000 atau RM4,000, pengguna perlu bertanya bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana ia tidak logik.

"Kebanyakan kes jemaah terkandas yang berlaku sebelum ini berpunca daripada tawaran pakej yang terlalu murah sehingga syarikat gagal menyediakan tiket penerbangan atau kemudahan seperti dijanjikan.


"Saya tidak mengatakan semua pakej murah itu salah, tetapi jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, itu adalah petanda bahaya. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat bayaran," katanya.

SAYS.com

Encik Mursyid Abu Hassan menerangkan mengenai perjalanan acara PAPUH Muslim Travel Fair 2026.

Image via PAPUH Muslim Travel Fair

Ujar Muhammad Mursyid lagi, media memainkan peranan membantu memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak hanya mengejar harga murah, sebaliknya memilih agensi yang mempunyai lesen sah dan rekod operasi yang baik.

"Muslim Travel Fair 2026 bukan sekadar platform jualan pakej umrah, malah menghimpunkan keseluruhan ekosistem pelancongan Islam termasuk institusi kewangan Islam, syarikat penerbangan, hotel dan agensi berkaitan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat di bawah satu bumbung.

"Pendekatan itu turut membezakan karnival berkenaan daripada pameran lain kerana penyertaannya hanya melibatkan syarikat yang memenuhi syarat keahlian PAPUH, sekali gus memelihara integriti industri pelancongan Islam,"
katanya.

Untuk info, Karnival Pelancongan Islam, PAPUH Muslim Travel Fair 2026 akan berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini, menawarkan pelbagai promosi eksklusif, konsultasi percuma, forum, cabutan bertuah lumayan serta peluang kepada orang ramai membuat tempahan terus dengan agensi umrah berlesen.

Antara pempamer yang mengambil bahagian pada karnival tersebut adalah Dhuyuff Travel & Travel, Al Fajr Safir International Sdn. Bhd, Wanderlah Travel Sdn. Bhd., Nuh Travel and Tours, Ajua Travel And Tours, Alam Shah Travel & Tours, Iltizam Travel & Tours, Murshid Al-haramain Travel and Tours, Tri – D Travel & Tours Sdn. Bhd, Maqbul Travel & Tours Sdn Bhd, Rehlah Travel & Tours Sdn Bhd, Wasiyyah Shoppe Berhad, Inqaz Travel & Tours Sdn Bhd, Gloria Travel Venture dan Islamic Tourism Centre.

Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

Image via SAYS Seismik