Patung Gergasi Messi ‘Unik’ Baharu Di Argentina Undang Pelbagai Reaksi Global
Binaan itu turut disertakan dengan sebuah replika Piala Dunia yang diletakkan di hadapannya.
Cover image via XFollow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Sebuah lagi penghormatan yang sangat besar telah diterima bintang Argentina, Lionel Messi apabila patung gergasinya di Argentina telah diperkenalkan kepada dunia
Apa yang menarik adalah, binaan ini turut dipercayai sebagai monumen bersifatkan legenda bola sepak terbesar yang pernah dihasilkan di dunia.
Dengan ketinggian 26m (85 kaki) dan berat sekitar 70 tan, monumen gergasi itu telah dirasmikan di Cutral Co, sebuah bandar di wilayah Patagonia, Argentina, menjelang perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia Argentina menentang Austria.
Dicipta oleh artis tempatan, Aldo Beroisa selama lebih 18 bulan, patung itu mencipta semula salah satu momen ikonik Messi dari Piala Dunia FIFA 2022, di mana dia berlutut sambil memegang jersi.

Mengundang pelbagai reaksi dalam talian
Sebaik sahaja selepas gambar patung itu muncul dan tersebar dalam talian, netizen banyak mempersoalkan akan pilihan reka bentuk yang ada pada monumen berkenaan.
Walaupun bahagian atas badan Messi dicat dengan jersi biru putih Argentina yang terkenal, bahagian bawah patung itu dibiarkan putih polos, menjadikannya kelihatan seolah-olah Messi terlupa memakai seluar dari sudut tertentu.
Lebih menimbulkan persoalan, replika gergasi trofi Piala Dunia diletakkan di hadapan patung tersebut, betul-betul di antara kangkang.


Walaupun menerima pelbagai komen dalam talian, patung itu dijangka menjadi tarikan pelancong utama untuk bandar Cutral Co
Bandar yang memiliki populasi kira-kira 35,000 penduduk ini lebih dikenali dengan industri minyak dan petrokimia berbanding lokasi tumpuan pelancong untuk bola sepak.
Bagi pengukir, Aldo Beroisa, monumen itu sentiasa bertujuan untuk meraikan Messi sebagai salah seorang ikon terhebat Argentina.
"Dia merupakan duta natural Argentina. Bagi saya, ia sangat penting, bukan sahaja sebagai seorang seniman tetapi juga sebagai seorang warga Argentina," kata lelaki berusia 61 tahun itu kepada The Associated Press.
Messi sendiri turut mengiktiraf penghormatan itu menerusi mesej video yang dihantar kepada Aldo, dengan berkata, "Gila, terima kasih banyak kepada anda semua, kepada orang yang menyokongnya, yang datang, dan yang terus datang."
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!


