Pelajar-Pelajar SMK Bukit Sawa Berjaya Bangunkan Pesawat Tanpa Pemandu Sendiri
Tahniah adik-adiik semua!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
35 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang, Terengganu berjaya menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) sendiri
Menerusi laporan Bernama, ia adalah hasil bimbingan seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah itu yang membawakan minatnya terhadap pesawat kawalan jauh kepada anak-anak murid.
Guru terbabit, Badrul Hisyam Zakaria berkata menerusi program TI BSA UAV In School yang bermula sejak 2023 dengan sokongan dan penajaan daripada beberapa syarikat, terutama Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc).
Beliau bersama-sama dua guru yang lain serta pelajarnya telah membangunkan lebih lima unit UAV sendiri dengan kos RM6,000 hingga RM10,000 seunit.
"Semua teknik dan material yang kita gunakan dalam membangunkan UAV adalah sama seperti yang digunakan dalam industri, cumanya yang kita hasilkan ini dalam skala kecil.
"Kini, kami sedang membangunkan UAV dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan yang dapat mengesan sasaran secara visual, berbanding UAV yang kita ada sekarang ini yang mengesan sasaran melalui GPS yang telah diprogramkan," katanya.

SMK Bukit Sawa muncul sebagai juara Cabaran Integrasi Avionik UAV (Sekolah Menengah) pada MyAERO Challenge 2026 di MAEPS pada Jun lepas
Lebih membanggakan, katanya, kini dua bekas pelajar SMK Bukit Sawa yang juga peserta program berkenaan sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan pesawat di Universiti Kuala Lumpur, manakala tiga lagi bekas pelajarnya sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sains pada peringkat matrikulasi.
"Program TI-BSAS UAV In School merupakan program yang diwujudkan untuk mencapai hasil jangka panjang. Kita mulakan program ini untuk pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat.
"Kemudian, kita akan lihat perkembangan mereka bukan sahaja pada peringkat sekolah, malah sehingga mereka menjadikan bidang penerbangan ini sebagai kerjaya. Insya-Allah, dalam masa tiga atau empat tahun lagi kita akan lihat jurutera pesawat kita yang pertama," katanya.
Selain menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang penerbangan kepada pelajar, beliau berkata program berkenaan juga bertujuan melahirkan lebih ramai pemain industri tempatan yang boleh membangunkan teknologi UAV sendiri tanpa perlu bergantung pada negara luar.|
Badrul Hisyam yang juga penyelaras program berkenaan berkata UAV itu dibangunkan dengan spesifikasi pesawat yang lengkap dan menggunakan sistem Global Positioning System (GPS) untuk mengesan sasaran.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!



Cover image via